KUALA LUMPUR, 25 Jun – Pembayaran tuntutan Tuntutan Ikhtisas (IKH) dan Tuntutan Perjalanan (TNT) bagi petugas serta pemeriksa peperiksaan akan diselesaikan sepenuhnya selewat-lewatnya pada 31 Julai 2023.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan, sehingga 23 Jun 2023, pembayaran IKH dan TNT telah selesai 100 peratus di sembilan negeri.
“Pembayaran IKH bagi pemeriksa peperiksaan pula telah selesai 98 peratus melibatkan seramai 131,318 orang petugas peperiksaan dan 29,421 orang pemeriksa peperiksaan.
“KPM komited memastikan pembayaran tuntutan petugas dan pemeriksa peperiksaan SPM Tahun 2022 diselesaikan segera,” katanya dalam kenyataan menerusi catatan Facebook, hari ini.
Semalam, seorang guru, Mohd Fadli Salleh memuat naik beberapa tangkap layar luahan beberapa pendidik yang menjadi pengawas dan penanda kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.
Mereka mendakwa masih belum menerima bayaran bagi tugasan berkenaan . – Nasionalkini.my