Oleh Hajidah Miharbi
KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Selepas kejayaan Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 10 dan 11 Jun lalu, Ratu Rock Negara sekali lagi akan menemui peminatnya di sebelah utara pula.
Ella yang melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan ‘Most Concert Tickets Sold Out: 10,000 Tickets in 24 Hours’ oleh Malaysia Book of Records itu akan menghibur peminat di Pulau Mutiara pada 28 Oktober ini, kira-kira 8 malam di Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Ella yang bakal mengadakan konsert yang sama di The Star Theatre, Singapura, pada 18 Ogos ini berkata, Pulau Pinang menjadi lokasi ketiganya kerana di situlah dia dilahirkan.
“Saya nak ‘habaq’ yang bahawasanya saya merupakan anak kelahiran Gelugor, Pulau Pinang. Sebagai menghargai permintaan semua peminat tersayang terutamanya di belah utara.
“Jadi untuk kali ini, kami bakal datang dengan membawakan konsert yang dinanti-nantikan Jilid Akhir: Ella Puteri Kota untuk kenangan bersama.
“Alhamdulillah syukur di atas kerjasama padu pasukan yang menjayakannya, selain ucapan terima kasih kepada semua penonton yang yang hadir menyaksikan pada kedua-dua malam, saya rindukan momen tersebut,” katanya.
Masih mengekalkan tema ‘Rock Glam’, konsert yang dijangkakan berlangsung sekitar dua jam setengah akan disajikan dengan kira-kira 25 ke 30 buah lagu bergantung dengan permintaan.

Bukan Ella seorang saja yang bakal menjayakan konsert tersebut kerana persembahan itu akan turut diserikan dengan artis jemputan yang masih dirahsiakan nama mereka sebagai kejutan.
“Saya kini sedang giat menjalankan sesi latihan muzik beberapa kali seminggu serta aktiviti rutin kecergasan demi membina stamina yang jarang-jarang saya tinggalkan.
“Dari segi susunan muzik pula pastinya ada kelainan bersesuaian dengan konsep konsert nanti di bawah kelolaan pengarah muzik, Datuk Acis yang dilatari sembilan pemuzik profesional dan 20 orang penyanyi koir sewaktu malam konsert,” kata Ella tentang perjalanan konsertnya kelak.
Ella berharap setiap peminat yang hadir akan terhibur dan bahagia menyaksikan konsertnya serta menjadi kenangan manis yang bakal dirindukan.
“Sebagai seorang penghibur, saya tersentuh dengan cerita peminat yang hadir di konsert, antaranya seorang anak telah menghadiahkan tiket konsert buat kedua ibu bapanya yang merupakan ‘die-hard fans’ saya dan mereka sangat ‘enjoy’.
“Disebabkan momen-momen beginilah yang menjadi pemangkin bagi saya untuk meneruskan konsert ini di beberapa lokasi lagi selain Pulau Pinang,” kata Ella yang giat mempromosikan siri jelajah konsert dan perniagaan produk RockQueen seperti abaya dan buku biografi yang bertajuk ‘Rockers Juga Manusia’.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal, selaku penganjur berkata, kejayaan konsert tempoh hari dengan penjualan tiket yang berjaya memecahkan rekod dalam masa 24 jam berjaya memasuki Malaysia Book of Records membuktikan bahawa Ella semenangnya Ratu Rock Negara yang tiada tandingan.
“Demi menyahut permintaan peminat Ella yang tidak berpeluang menonton konsert tempoh hari, pihak Hitman Solutions akan sedaya-upaya memberikan kepuasan maksimal buat penggemar rock di bahagian utara, dan nantikan pengumuman kami yang seterusnya,” katanya.
Tiket-tiket bakal dijual bermula hari ini, 2 Ogos selepas 12 tengah hari di www.hitmanlive.com dan harga yang ditawarkan bermula dari RM78 hingga RM258. -nasionalkini.my