KELANA JAYA, 24 Julai – Selangor FC memperkukuhkan kedudukan ditangga kedua Liga Super selepas menang tipis 1-0 ke atas Sabah FC dalam perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya malam tadi.
Jaringan bintang dari Colombia, Ayron del Valle pada minit ke-23 sudah cukup membolehkan The Red Giants menebus kembali kekalahan 1-2 kepada The Rhinos di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada April lalu.
Pada aksi 27 April lalu menyaksikan gol Sabah dijelmakan Saddil Ramdani (m-24) dan kapten, Baddrol Bakhtiar (m-66) manakala Faisal Halim mengurangkan defisit dengan jaringan minit ke-52, lapor Sinar Harian.
Kemenangan ke-13, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu membolehkan The Red Giants meninggalkan pesaing terdekat Kedah Darul Aman (KDA) FC yang kurang satu perlawanan dengan lima mata.
Sabah kendalian Datuk Ong Kim Swee pula kekal di tangga kelima liga dengan 33 mata selepas meraih 10 kemenangan, tiga seri, lima kalah selepas mengharungi 17 perlawanan.- nasionalkini.my