KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Anak bongsu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Fatihah Salahuddin, hadir ke Parlimen bagi mencabut plat nama ayahnya, semalam
Menerusi perkongsian di akaun Facebook miliknya, Fatihah meluahkan rasa sayu dan sebak kerana terkenangkan arwah ayahnya.
“Saya memakai baju kemeja putih ayah hari ini ke Parlimen untuk mencabut plat nama ayah di Dewan Rakyat.
“Rasa sayu dan sebak sebaik saja saya masuk ke dalam dewan, jatuh juga air mata tadi mengenangkan ayah.
“Rasanya baru seperti semalam kami bekerja keras untuk memenangkan ayah di Parlimen Pulai,” katanya menerusi perkongsian di Facebook miliknya.
Fatihah berkongsi, Parlimen bukan asing kepadanya berikuta sudah menjadi keluarga besar buat arwah ayahnya dan allahyarham telah menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal (2004-2013) dan Ahli Parlimen Pulai (2018-2023).
“Secara peribadi, Parlimen adalah keluarga besar buat saya. Saya berpeluang bekerja dengan warga Parlimen sebagai Setiausaha Sulit Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof 2018-2020.
“Kemudian, berkhidmat dengan ayahanda tercinta sebagai pegawai khasnya daripada 2020 sehingga Parlimen dibubarkan pada 2022,” katanya.
Sepanjang tempoh terbabit, beliau diberikan kepercayaan oleh bapanya untuk menguruskan segala hal ehwal Parlimen daripada menyediakan soalan-soalan bagi pertanyaan jawab lisan sehinggalah membuat usul.
Dia turut mengucapkan ribuan terima kasih buat Parlimen Malaysia yang selama ini memberikan perkhidmatan terbaik kepada ayahnya.
Salahuddin yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup disahkan meninggal dunia pada jam 9.23 malam ketika masih dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, 23 Julai lalu. – nasionalkini.my