PETALING JAYA, 24 Julai – Pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub adalah kehilangan terbesar buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi kenyataan di akaun Facebooknya, Anwar terkesan dengan pemergian Salahuddin yang juga merupakan seorang sahabat setia bersamanya.
“Saya amat terkesan tatkala Menteri KPDN dan juga seorang sahabat yang setia, Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub telah pergi dijemput Allah, hari ini (malam tadi).
“Secara peribadi, ianya satu kehilangan besar buat diri saya dan keluarga.
“Saudara Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat.
“Jasa dan budinya tentunya tidak termampu dibalas secara materi,” tulisnya.
Tambah Anwar, Salahuddin dikenali kerana mempunyai sikap keperibadian tinggi, sama ada kepada kawan mahupun lawan.
“Allahyarham juga merupakan sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab. Berehatlah, sahabatku.
“Semoga Allah SWT memberi kesabaran yang tinggi buat keluargamu, mengampunkan segala dosamu dan semoga saudaraku Salahuddin diberikan tempat yang istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah,” ujarnya.
Berita duka pemergian Salahuddin dimaklumkan sendiri oleh anak beliau di laman Facebooknya, Fatihah Salahuddin kira-kira pukul 9.23 malam tadi.
Pemimpin parti rakam ucapan takziah
Dalam pada itu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Salahuddin.
Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
“Saya merasa dukacita mendengar perkhabaran ini dan berdoa semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham dapat bersabar dan tabah melalui detik mendukacitakan ini,” katanya dalam catatan di laman Facebook.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng pula menyifatkan ketokohan dan jasa Salahuddin menyemai benih harapan untuk masa depan negara.
“Tidak terungkap kesedihan dengan pemergian sahabat dan rakan seperjuangan saya saudara Salahuddin Ayub.
“Salam takziah untuk keluarga beliau, semoga sabar menghadapi ujian ini,” katanya.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga Salahuddin sambil berterima kasih atas usaha dan keringat Allahyarham ketika berkhidmat untuk negara.
“Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.- nasionalkini.my