KUANTAN, 9 Ogos – Kasih ibu membawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa.
Itulah pengorbanan seorang bapa, Ramli Mamat, 59, sanggup berhenti kerja untuk menjaga anak dan isterinya yang sedang sakit.
Isterinya, Murni Md Daud, 58, menghidap radang sendi, manakala anak bongsu pasangan itu, Mohammad Arif Hakimi, 21, menghidap penyakit ‘kaki gajah’ sejak berusia 12 tahun.
Ramli sebelum ini bekerja sebagai kakitangan pembersihan di pusat peranginan terkenal di Cherating dan mengambil keputusan untuk berhenti kerja awal tahun lalu.
“Keputusan (berhenti kerja) ini sangat berat, tapi disebabkan isteri dan anak saya lebih memerlukan perhatian, saya fikir inilah yang terbaik untuk kami.
“Memang saya akui, kami perlu hidup ala kadar kerana saya tidak ada sumber pendapatan lain.
“Buat masa ini, saya menggunakan sepenuhnya wang simpanan dan pampasan diterima selepas berhenti kerja untuk meneruskan kehidupan kami,” katanya ketika ditemui wakil nasionalkini.my di Kampung Bukit Palas, dekat Cherating, baru-baru ini.
Selain menghidap penyakit ‘kaki gajah’, Mohammad Arif Hakimi juga dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) sejak kecil.
Dia tidak boleh bertutur sejak berusia sembilan tahun dan penyakit ‘kaki gajah’ dialaminya turut mengakibatkan deria penglihatannya rosak.
“Doktor syak anak saya menghidap penyakit ‘kaki gajah’ (elephantiasis) tetapi ujian darahnya tidak mengesan cacing (filaria) yang menjadi punca penyakit itu.
“Setiap kali dia demam, kaki kirinya menjadi merah dan membesar dan kesannya merebak ke kedua mata hingga dia kini hampir buta.
“Saya perlu menjaganya seperti seorang bayi, semuanya kami kena buat untuk dia, makan dan pakai perlu kami bantu,” kata Ramli lagi.
Dia memaklumkan, isterinya, Murni adalah bekas guru KEMAS secara kontrak dan terpaksa berhenti kerja pada tahun 2019 apabila penyakit radang sendi dialaminya bertambah serius.
Isterinya kini menggunakan kerusi roda untuk bergerak kerana tidak dapat berjalan seperti biasa selepas mengalami radang sendi.
Selain Mohammad Arif Hakimi, anak kelima pasangan itu, Nor Aliah Safiah, 23, turut termasuk dalam golongan OKU pendengaran dan tinggal bersamanya.
Pasangan itu mempunyai enam anak, empat lelaki dan dua perempuan berusia antara 37 hingga 21 tahun.
Ramli turut menyuarakan kerisauan dengan nasib anaknya itu memandangkan wang simpanan dimiliki hanya mampu bertahan tidak sampai dua tahun lagi.
Katanya, kos untuk menguruskan Mohammad Arif Hakimi mencecah RM500 sebulan dan ini tidak termasuk kos ulang-alik ke hospital bagi melakukan pemeriksaan kesihatan anaknya itu.
“Sebelum ini saya dan isteri tidak mahu berkongsi kesukaran kami sekeluarga, tapi bila difikirkan semula, saya hanya bimbang dengan nasib anak kami selepas ini.
“Sekarang tidak mengapalah, kami masih ada, kalau kami meninggal dunia, siapa nak jaga mereka.
“Anak kami yang lain pun ada keluarga sendiri, sekadar jenguk dan bantu sesekali bolehlah, tapi untuk menjaga Mohammad Arif Hakimi sepanjang masa, susah juga,” katanya lagi.
Ramli memberitahu dia ada menerima sumbangan ‘one-off’ daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tahun lalu dan permohonan bantuan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) juga sudah dikemukakan sebelum ini.
Difahamkan, Mohammad Arif Hakimi dan ibunya, Murni, sedang dirawat di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, ketika ini.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga Mohammad Arif Hakimi boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke akaun CIMB Bank milik Ramli bernombor 7036390629.
Mereka juga boleh menghubungi nombor telefon 0111-2984260 untuk mendapatkan maklumat lanjut.- nasionalkini.my