in

Agong, Permaisuri berangkat ke majlis santapan memperingati perwira Lahad Datu

Gambar oleh Bernama

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, hari ini, berkenan berangkat ke majlis santapan petang bagi memperingati perwira Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang gugur dalam pertempuran di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Majlis santapan yang diadakan di Istana Negara bersempena sambutan Hari Kebangsaan itu dihadiri waris serta kira-kira 30 rakan seperjuangan kepada lapan anggota PDRM yang gugur mempertahankan kedaulatan negara daripada dicerobohi pengganas Sulu.

Seri Paduka berdua meluangkan hampir dua jam pada majlis itu serta mengurniakan sumbangan peribadi kepada waris atau wakil setiap keluarga yang hadir, lapor Bernama.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sebelum ini dirakam sebak ketika menyaksikan persembahan pantomim bertajuk Op Daulat Kampung Simunul bersempena Sambutan Hari Pahlawan 2023 pada 31 Julai lalu.

Pada Februari 2013, Malaysia dikejutkan dengan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu, yang membawa kepada pertempuran pada 1 Mac di Kampung Tanduo mengakibatkan 10 perwira negara terbunuh dan 68 pengganas Sulu maut.

Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.- nasionalkini.my

23 peserta ambil bahagian kursus jurulatih senamrobik

Faisal Halim gembira dipanggil perkuat skuad kebangsaan