KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Pemain sayap sensasi negara, Mohamad Faisal Abdul Halim, lega apabila kembali dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya menjelang dua perlawanan antarabangsa Tier 1 di China bulan depan, selepas penggantungan selama sebulan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Mohamad Faisal berkata, dorongan orang ramai terutama ahli keluarga dan rakan-rakan sepasukan di Selangor FC, membantu dalam usahanya mengekalkan prestasi sepanjang tempoh penggantungan.
“Sejak Disember tahun lepas saya tiada rehat, mungkin itu (penggantungan) ALLAH beri saya cuti untuk beri masa saya kembalikan moral ataupun (pulih daripada) keletihan.
“Sekarang saya akan kembali lebih bertenaga, kalau tiada apa-apa halangan, saya akan beraksi seperti biasa untuk membantu pasukan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Pestabola Merdeka 2023 di sini hari ini, lapor Bernama.
Walaupun kekurangan minit perlawanan, Mohamad Faisal yang juga dikenali sebagai Mickey, optimis perkara itu tidak memberi kesan besar kepada prestasinya.
Pemain berusia 25 tahun itu yang kembali beraksi dan menjaringkan dua gol ketika Selangor membelasah Kelantan FC 11-2 pada aksi Liga Super Jumaat lepas, berazam menampilkan aksi lebih baik ketika Malaysia bertemu Syria dan China di Chengdu, masing-masing pada 6 dan 9 September ini.- nasionalkini.my