KOTA BHARU, 2 Ogos – Barisan Nasional (BN) Kelantan menyasarkan kemenangan sekurang-kurangnya di 16 kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos nanti.
Setiausaha BN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, pihaknya akan mempertahankan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh parti itu sebelum ini dan merampas lapan lagi DUN milik Pas.
“Kami bertekad untuk mengekalkan lapan kerusi yang kami miliki dan akan menambah lapan lagi kerusi yang disandang oleh PAS.
“Setakat ini, kami yakin 16 kerusi termasuk di DUN Melor dan Jelawat akan menjadi milik BN,” katanya seperti dipetik Sinar Harian, hari ini.
Md Alwi berkata, momentum BN dan PH kini semakin baik dan pihaknya yakin rakyat Kelantan sudah sedar dan mahu berubah.
Oleh itu, partinya berharap PH dapat memenangi sekurang-kurangnya tujuh kerusi daripada 14 kerusi yang ditandingi mereka.
“Kita berharap momentum ini berkekalan sehingga 12 Ogos nanti sekali gus menjadikan PH dan BN semakin kuat di Kelantan,” katanya. – nasionalkini.my