Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 3 Jun – Musim durian kali ini mungkin menjadi pesta buat penggemar raja buah itu apabila harganya termasuk jenis ‘Musang King’ dan ‘Udang Merah’ jauh lebih murah berbanding sebelum ini.
Antara puncanya adalah kerana durian kali ini luruh serentak di Johor dan Pahang, sekali gus menyebabkan berlaku lambakan dan harganya jatuh apabila penawaran melebihi permintaan.
Durian ‘Udang Merah’ kali ini dijual pada harga RM20 sekilogram, jauh lebih murah berbanding sebelum ini – RM35 sekilogram, selain durian kampung (RM6) dan ‘Musang King’ RM28 sekilogram berbanding RM40 hingga RM45 tahun lalu.
Pengusaha Malacca Durian Heng, Tan Thian Yew, 25, bagaimanapun berkata, walaupun terpaksa menjual pada harga murah, dia gembira kerana lebih ramai rakyat mampu menikmati raja buah itu.
“Kalau dulu pelanggan cuma beli satu atau dua biji saja, tapi sekarang mereka beli sampai satu bakul sebab harganya yang jauh lebih murah.
“Dulu ramai pelanggan beli durian kampung, tapi sekarang mereka sudah mampu nikmati ‘Musang King’ dan ‘Udang Merah’,” katanya ketika ditemui di Kampung Baharu, Bukit Kajang di sini.
Dia yang sudah 15 tahun berniaga di dusunnya yang terletak di tepi jalan utama berkata, harga rendah itu juga didorong apabila musim durian kali ini lebih panjang membolehkan bekalan cukup sehingga September atau Oktober ini.
“Apa yang istimewanya di Melaka adalah durian ‘Udang Merah’ yang kita jual ini, pokoknya di atas bukit menyebabkan kualitinya juga lebih baik dengan rasa yang lebih pekat.
“Sebab itu ada pelanggan kita dari Sabah, Sarawah, Kelantan dan Pahang sanggup singgah ke sini untuk merasai sendiri keenakannya,” katanya yang mempunyai dusun berkeluasan 40.4 hektar di Melaka dan Johor.
Selain untuk pasaran tempatan yang mampu dijual sehingga lima tan durian sehari pada hujung minggu, Tan berkata, dia turut mengeksport duriannya itu antara empat hingga lima tan sehari untuk pasaran Singapura. – nasionalkini.my