Oleh Ahmad Abd Hamid
BIASANYA tiket bas ekspres menjadi rebutan orang ramai untuk perjalanan pulang ke kampung halaman pada hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Malah kerap kali awal-awal tiket sudah habis ditempah.
Akibatnya ramai yang tidak dapat pulang ke kampung halaman, melainkan syarikat bas menyediakan bas tambahan. Itu pun sekejap sahaja sudah habis. Ini memandangkan bas ekspres ialah pengangkutan awam paling disukai ramai.
Tiket bas ekspres lebih murah berbanding pengangkutan awam lain seperti kapal terbang atau kereta api laju (ETS). Perjalanan menaiki bas selesa serta merangkumi seluruh tanah air, termasuk pekan-pekan kecil.
Tetapi lain pula keadaannya dengan Aidiladha yang bakal disambut 29 Jun ini. Memetik Persatuan Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) seperti dilapor media, terdapat banyak tiket bas ke utara belum terjual.
Keadaan ini berbeza dibandingkan dengan Aidiladha tahun-tahun sebelumnya.
Sambutan bagi perjalanan ke utara begitu menggalakkan dengan bas menjadi pilihan utama yang hendak balik berhari raya ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang atau Perak.
Oleh itu apa yang berlaku tahun ini agak menghairankan. Adakah orang utara tidak mahu balik kampung atau mereka tidak mahu menaiki bas dan memilih pengangkutan awam lain?

Ada yang mengaitkan kemerosotan permintaan tahun ini dengan kesesakan kenderaan menuju ke utara yang menyaksikan lebuh raya atau jalan persekutuan sesak.
Akibatnya, perjalanan mengambil masa lama berbanding pada waktu biasa.
Kerana itu orang ramai tidak berminat balik menaiki bas bagi mengelak letih tersangkut di jalan raya, atau menunggu selepas hari raya pertama untuk balik apabila pergerakan trafik agak reda. Tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran perkara ini.
Ini mengambil kira permintaan bagi tiket perjalanan ke Pantai Timur yang biasanya memang sentiasa tinggi. Begitu juga keadaannya pada Aidiladha ini.
Jika hendak dikira, perjalanan ke Pantai Timur pun menempuh kesesakan lalu lintas juga. Ini suasana biasa pada hari perayaan.
Atau mungkin juga warga Pantai Timur tetap mahu balik kerana bagi setengah negeri seperti Kelantan, Aidiladha diraikan sama meriah seperti Aidilfitri, malah ada yang mengatakan sambutannya lebih meriah.
Seandainya sambutan tiket bas tidak bertambah baik menjelang hari raya, kemungkinannya syarikat bas terpaksa menyusun semula jadual perjalanan. Tentulah syarikat mahu memaksimumkan kapisiti perjalanan dengan membawa penumpang penuh.
Banyak perjalanan tetapi membawa penumpang tidak ramai hanya meningkatkan kos.
Kerana itu syarikat masih berharap menjelang saat akhir hari raya, permintaan tiket akan bertambah memandangkan sekolah juga akan bercuti sehari sebelum raya hingga Ahad.
Apa pun Selamat Hari Raya Aidiladha kepada yang balik kampung, samaada menaiki pengangkutan awam atau berkenderaan sendiri.
Sentiasa berwaspada dan berhati-hati di jalan raya. Semoga selamat sampai ke destinasi bertemu kaum keluarga dan sanak saudara. – nasionalkini.my