in

Kenali puasa paling disukai Allah

Gambar hiasan

BERDASARKAN sejarah, tuntutan berpuasa bukan sahaja diperintahkan ke atas kita umat Nabi Muhammad SAW, bahkan ibadah itu diamalkan para Anbia dan umat terdahulu.

Antaranya, puasa tiga hari pada pertengahan bulan Islam yang dikenali juga sebagai ‘puasa putih’ dilakukan Nabi Adam dan Nabi Ibrahim.

Sementara itu, puasa enam hari selepas Aidilfitri dilakukan oleh Nabi Nuh.

Nabi Musa pula pernah melakukan puasa pada 10 Muharam.

Manakala, Nabi Sulaiman puasa sembilan hari dengan berpuasa tiga hari berturut-turut pada awal, pertengahan dan akhir setiap bulan.

Namun, dalam banyak jenis puasa, puasa paling disukai ALLAH SWT adalah puasa Nabi Daud AS.

Hal itu diceritakan sendiri Rasulullah SAW.

“Puasa paling disukai oleh ALLAH adalah puasa Daud.

“Ia berpuasa satu hari lalu berbuka satu hari.

“Dan solat yang paling disukai oleh ALLAH adalah solat Daud.

“Ia tidur pertengahan malam, bangun satu pertiga malam, lalu tidur satu per enam malam,” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Gambar ihsan Perbadanan Putrajaya

Cara puasa diamalkan Nabi Daud adalah secara berselang seli, iaitu sehari puasa dan sehari tidak.

Berbanding puasa sunnah yang lain, puasa Daud lebih disukai oleh ALLAH.

Bahkan ada ulama berpandangan bahawa puasa Nabi Daud adalah lebih baik daripada puasa sepanjang tahun.

Selain itu, puasa Daud memiliki banyak keutamaan luar biasa. Antaranya:

1. Puasa sunnah paling utama.
Puasa Daud adalah puasa sunnah yang paling afdal, utama dan tinggi darjatnya.

Sabda Nabi SAW, “Puasa yang paling utama adalah puasa Nabi Daud AS. Beliau berpuasa sehari dan tidak berpuasa sehari.” (Hadis Riwayat an-Nasaie)

2. Puasa sunnah paling disukai ALLAH. Puasa Daud adalah puasa sunnah yang paling dicintai ALLAH SWT.

Rasulullah bersabda, “Puasa yang paling dicintai oleh ALLAH adalah puasa Daud. Dan solat yang paling dicintai oleh ALLAH adalah solat Daud. Ia tidur pertengahan malam, bangun sepertiganya, lalu tidur seperenamnya. Dan ia berpuasa satu hari lalu berbuka satu hari.” (Hadis Riwayat Muslim)

3. Puasa sunnah dengan darjat tertinggi.

Puasa Daud juga adalah puasa terbaik sekaligus puasa tertinggi darjatnya. Hal ini kerana umat Islam tidak seharusnya berpuasa melebihi itu kerana tubuh juga mempunyai hak untuk dijaga.

“Daripada Abdullah bin Amr bahawa Rasulullah SAW menanyakan kepadaku, “Aku mendengar khabar bahawa engkau selalu qiamullail dan siangnya berpuasa.” Aku menjawab,“Benar ya Rasulullah.”

“Maka Rasulullah bersabda, “Berpuasalah dan berbukalah. Solatlah dan tidurlah! Kerana tubuhmu memiliki hak terhadapmu.

“Isterimu memiliki hak terhadapmu. Dan tetamumu juga memiliki hak terhadapmu. Cukuplah bagimu berpuasa tiga hari setiap bulan.”

“Abdullah berkata, aku bertahan, maka Rasulullah pun bersabda pula. Akhirnya aku berkata, “Ya Rasulullah, aku sanggup lebih dari itu.” Rasulullah bersabda, “Kalau begitu, berpuasalah tiga hari setiap bulan.”

“Abdullah berkata, aku bertahan, maka Rasulullah pun bersabda pula. Aku berkata lagi, “Ya Rasulullah, aku sanggup lebih dari itu.” Rasulullah bersabda, “Kalau begitu, berpuasalah seperti Nabi Daud dan jangan lebih dari itu.”

“Aku bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana puasa Nabi Daud itu?” Rasulullah bersabda, “Ia berpuasa sehari lalu berbuka sehari.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dr Abdul Rasid Md Ali

Dari segi perubatan pula, Pengasas Rangkaian Klinik Nadi Iman Medical, Dr Abdul Rasid Md Ali berkata, kajian dijalankan pakar mendapati kadar kes kanser dilaporkan berkurangan antara tiga hingga empat kali ganda melalui amalan berpuasa.

“Ia adalah kajian dijalankan di negara Islam yang majoriti rakyatnya berpuasa bukan hanya di bulan Ramadan.

“Keajaiban puasa itu sangat sukar digambarkan dan perlu dilalui (dinikmati) sendiri oleh individu berkenaan yang berpuasa,” katanya.- nasionalkini.my

Tahap kepekaan terhadap status halal perlu dipertingkatkan

Puasa didik hati lebih mudah tersentuh