Oleh Adam Aariz
SHAH ALAM, 28 Jun – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menghormati pandangan UMNO Kota Raja yang mencadangkan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis bagi Pilihan Raya Negeri (PRN), kali ini.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Penerangan AMK Selangor Fauzi Fadzil berkata UMNO Bahagian Kota Raja perlu merujuk kepada asas perbincangan pembahagian kerusi dalam kalangan parti politik komponn kerajaan perpaduan, iaitu penyandang akan dikekalkan.
“AMK Selangor berlapang dada dalam berhadapan dengan kepelbagaian pendapat daripada pimpinan politik yang menganggotai Kerajaan Perpaduan.
“Kepelbagaian pendapat ini tidak akan melunturkan kesepakatan yang dibentuk diperingkat nasional.
“Pimpinan utama parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan telah bersetuju untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dalam PRN kali ini kerana ia dianggap sebagai ‘resepi’ kerapuhan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, DUN Sungai Kandis telah dimenangi PKR sejak 2008, justeru asas tersebut harus dihormati bagi mengelakkan kecelaruan pembahagian kerusi melibatkan enam negeri yang bakal berhadapan PRN.
DUN Sungai Kandis kini disandang oleh Exco Agama Islam, Pengguna dan Indsutri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini memaklumkan pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional akan diketahui selepas Aidiladha. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN