in

Kegiatan jual minyak diesel kepada pihak ketiga terbongkar

Antara kenderaan disita KPDN Kedah kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti menjual minyak diesel kepada pihak ketiga

Oleh Aimi Isma

ALOR SETAR, 28 Jun – Kegiatan dua lelaki menjual minyak diesel kepada pihak ketiga terbongkar apabila mereka ditahan dalam di hadapan sebuah stesen minyak di Alor Mengkudu, dekat Alor Setar, malam tadi.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, dua lelaki tempatan berusia 28 dan 58 tahun itu ditahan jam 11.30 malam melalui Operasi Membanteras Penyeludupan Minyak Diesel di sekitar bandar raya Alor Setar.

“Hasil maklumat orang awam, kita mengesan sebuah lori dan sebuah pacuan empat roda dengan nombor pendaftaran tempatan sedang mengisi minyak dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di Alor Mengkudu.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemui tangki tambahan diubahsuai dan dipercayai digunakan untuk penyelewengan minyak diesel.

“Minyak diesel itu dipercayai akan dijual kepada pihak ketiga seperti industri dan stor haram untuk mendapat keuntungan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tangki tambahan yang diubahsuai untuk aktiviti menjual minyak diesel kepada pihak ketiga

Affendi berkata pihaknya turut menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah van yang ditinggalkan di perkarangan sebuah stesen minyak di kawasan yang sama sebelum menemui tangki tambahan berisi kira-kira 200 liter minyak diesel.

“Ketiga kenderaan itu disita bersama 1,300 liter minyak diesel.

“Anggaran nilai rampasan minyak diesel adalah RM2,795 manakala nilai keseluruhan berjumlah RM38,795.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1974 dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

IMG 20230518 WA0008

UMNO perlu hormat kerusi penyandang

UJ Hotels lancar buku antirasuah