KUALA LUMPUR, 15 Mei – Tun Dr Mahathir Mohamad menggelar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘mat retorik’ kerana hanya tahu membuat tuduhan di atas pentas politik semata-mata tanpa menunjukkan bukti.
Atas dasar itu, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu sekali lagi mendesak supaya Anwar mengemukakan bukti terhadap kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini yang mendakwa beliau menggunakan kuasa untuk memewahkan diri dan keluarga.
Meskipun beliau sudah mengambil tindakan mahkamah ke atas Anwar, sehingga ke hari ini Presiden PKR itu tidak pernah menunjukkan bukti selain berterusan melakukan tuduhan ke atasnya.
“Saya juga dituduh memiliki wang berbilion ringgit, kapal terbang dan kapal. Kononnya semua orang tahu.
“Saya kata tunjuk bukti saya salah guna kuasa untuk kaya diri dan keluarga dan kalau tidak saya akan ambil tindakan mahkamah.
“Setakat cakap di atas pentas politik tanpa ada bukti ini siapa pun boleh buat. Mereka ini digelar ‘mat retorik’,” kata Dr Mahathir dalam kenyataan, hari ini.
Malah, pemimpin yang berusia 97 tahun juga sekali lagi mengulangi pendirian tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengisytiharkan harta kerana tegasnya, tiada perkara yang perlu disorokkan.
“Dia minta saya tunjuk bukti harta saya. Dia yang tuduh saya dan dia minta saya pula tunjuk bukti.
“Saya juga telah isytihar harta beberapa kali semasa jadi Perdana Menteri dan ini juga pengetahuan umum,” katanya.
Pada 6 Mei lalu, Anwar mencabar bekas pemimpin dan pembesar yang mendapat keuntungan ketika era pemerintahan mereka untuk berkongsi kekayaan dengan orang Melayu yang lain.
Bagaimanapun, perkara tersebut dinafikan Dr Mahathir dengan mencabar Anwar untuk membuktikan dakwaan beliau memiliki sejumlah wang seperti yang dikatakan. – nasionalkini.my