in

Tukar kerajaan: Tanya PM mana dia dengar

saifudin

Oleh: Arman Dhani Zafir

KUANTAN, 8 Mei – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan isu pertukaran kerajaan Persekutuan yang dibangkitkan perlu disuarakan terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, perkara tersebut sudah menjadi perbualan hangat dalam kalangan rakyat sejak kebelakangan ini.

“Dari mana kita dapat dengar cerita berkaitan dengan ‘ada angka’ atau ‘ada langkah-langkah’ tertentu ini?

“Setahu saya kita dengar ini daripada dua sumber, yang pertama ialah daripada perdana menteri, dia yang sebut dan yang kedua kalau kita pergi mana-mana pun rakyat sebut soalan ini.

“Jadi itulah komen saya (buat masa ini), kena tanya Perdana Menteri dari mana dia dengar dan kenapa rakyat bercakap soal ini,” kata Ahli Parlimen Indera Mahkota.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas berkenaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pejabat Sekretariat Perikatan Nasional (PN) di sini, petang tadi.

Isu mengenai pertukaran kerajaan mula kedengaran sejak awal penubuhan kerajaan perpaduan selepas PRU15, Disember lalu.

Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman menyebut angka 126, yan menimbulkan persoalan pelbagai pihak.

Muhammad Faiz tidak menjelaskan angka 126 itu merujuk jumlah ahli Parlimen atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Anwar pula dalam satu sidang media Sabtu lalu membuat cabaran terbuka kepada pihak pembangkang yang mempunyai nombor tersebut supaya membuktikan di Parlimen pada 22 Mei ini.

Ahli Parlimen Tambun itu yakin pentadbiran yang diterajuinya solid dan akan berkekalan sehingga pilihan raya akan datang.

“Tunggu masa Parlimen, bawalah usul SD. Usul di parlimen tak ada masalah.

“Ini tiap-tiap minggu dia jadi macam mengigau mingguan – sebelum puasa, sebelum raya, lepas raya, sebelum raya haji, sebelum Thaipusam, tahun baru Cina.

“InsyaAllah, kita kerajaan perpaduan kekal penuh hingga pilihan raya akan datang,” katanya.

Kerajaan Perpaduan buat masa ini mempunyai sokongan 82 Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) ditambah dengan komitmen yang dinyatakan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sebelum ini, negara berdepan dengan pertukaran kerajaan sebanyak tiga kali selepas kerajaan PH tumbang melalui rampasan kuasa melalui Langkah Sheraton.

Malah, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin jugaterpaksa meletak jawatan selepas 17 bulan pada Ogos 2021.

Manakala Naib Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula membubarkan Parlimen selepas 15 bulan menerajui kerajaan. – nasionalkini.my

Untitled design 11

Sokong Proklamasi Orang Melayu tiada kaitan PRN – Bersatu

ezgif.com webp to jpg 20

Peneroka haram Israel serang petani Palestin