Oleh: Embun Zahra
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Bersatu menjelaskan Proklamasi Orang Melayu yang ditandatangani tiga pemimpinnya tiada berkaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ketua Penerangannya, Datuk Razali Idris berkata, tanda tangan yang diberikan bukanlah mewakili parti sebaliknya dibuat atas dasar individu.
Malah, beliau menafikan sokongannya dan beberapa pemimpin Bersatu terhadap Mahathir atas arahan parti.

“Kami tandatangan (proklamasi) itu hanya sebagai individu dan tiada perbincangan mengenai kerusi termasuk kemasukan parti Gerakan Tanah Air (GTA) untuk PRN nanti.
“Kita hanya bercakap mengenai penyatuan Melayu sebab kita nampak Melayu hari ini berpecah dari segi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik pun banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Majlis Bersatu Beraya bersama Media di Wangsa 118,hari ini.

Razali menambah beliau menyokong usaha bekas Perdana Menteri itu kerana menganggap Mahathir sebagai negarawan yang mampu menyatukan orang Melayu.
“Melayu nak berpecah jadi kita letak Tun M sebagai negarawan untuk menyatukan orang Melayu.”katanya.
Terdahulu, tiga pemimpin Bersatu dilihat menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang diasaskan bekas Perdana Menteri .
Selain Razali, dua lagi pemimpin Bersatu adalah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.
Misi utama Proklamasi Orang Melayu adalah memperkasakan semula keunggulan kuasa politik orang Melayu, umat Islam dan masyarakat di negara ini.
Proklamasi Melayu adalah gagasan strategik mengenai orang Melayu, umat Islam dan masyarakat Pribumi.
Ia termasuk survival, keunggulan dan keselamatan kuasa politiknya; dan juga keselamatan jati diri dan keselamatan sosio-ekonominya di zaman selepas pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – nasionalkini.my