KUALA LUMPUR, 17 September – UMNO-Barisan Nasional (BN) dijangka berdepan kesukaran mencari calon sesuai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai berikutan tradisi kawasan itu menamakan wakil rakyat dalam kalangan penduduk tempatan.
Penganalisis politik, Datuk Shamsuddin Nawawi, berkata berdasarkan latar belakang DUN berkenaan, dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ialah bekas Menteri Besar, Tan Sri Adnan Yaakob dan EXCO Kerajaan Negeri, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Katanya, Adnan menjadi wakil rakyat di kawasan itu sejak 1986, manakala Johari yang juga anak didik Adnan sudah dikenali sejak 2018 lagi sebelum terpilih sebagai ADUN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
“Kedua-dua tokoh ini dikenali ramai, berkaliber dan berwibawa dan masalah kini untuk mencari calon anak tempatan yang ada kualiti hampir menyamai dua tokoh itu.
“Ini kerana pengundi di sama terikat dengan semangat ‘Pelangai untuk Pelangai’ iaitu calon mesti orang tempatan yang berkhidmat di kawasan berkenaan,” katanya kepada BH Online.
Shamsuddin berkata, UMNO-BN berpeluang mengekalkan penguasaan, namun perlu bekerja keras dan mengemukakan calon tepat, selain menjalinkan kerjasama erat dengan Pakatan Harapan (PH) melalui DAP dan PKR bagi menawan bukan saja undi orang Melayu tetapi pengundi Cina, India dan Orang Asli.
Katanya, calon DUN Pelangai perlu mempunyai ciri hampir menyamai dua ADUN di kawasan itu sebelum ini iaitu perlu mudah didekati, dikenali, pemurah, ramah dan anak tempatan.
“Jika calon luar kawasan sama ada dari bahagian lain dalam kawasan Parlimen yang sama iaitu Bentong, ia masih belum menepati kriteria sesuai untuk boleh menang besar,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, saingan Perikatan Nasional (PN) juga tidak boleh dinafikan kerana parti itu memenangi 17 kerusi ketika ini.
Lebih penting, beliau berkata, PRK Pelangai akan beri kesan kepada kedudukan kerajaan negeri berikutan PN kini mempunyai 17 wakil.
“Jika UMNO-BN kalah, bermakna PN nanti akan mempunyai 18 kerusi dan UMNO-BN hanya 16 kerusi, manakala PH mewakili lapan kerusi, yang mana menimbulkan kesukaran jika berlaku perkara di luar jangka dalam percaturan politik,” katanya.
Pada PRU15 lalu, Allahyarham Johari menewaskan calon PN, Kasim Samat; Ahmed Wafiuddin Shamsuri (PH) dan Isa Ahmad (PEJUANG) dengan majoriti 4,048 undi.- nasionalkini.my