in

Tiada istilah menang percuma di Pelangai

Mohd Tarmizi Yahaya

KUANTAN, 23 Ogos – Perikatan Nasional (PN) Pahang tidak akan sesekali memberi kemenangan percuma kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi dewan undangan negeri (DUN) Pelangai.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya menjelaskan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang sudah menerima notis pengisytiharan kekosongan kerusi itu daripada speaker DUN, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin Isnin lalu dan ia bermakna PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Beliau berkata, parti gabungan itu sudah bersedia untuk berdepan dalam PRK itu dan yakin dapat mencapai keputusan lebih baik.

“PN dalam misi memburu kerusi ke-18, kita rasa (yakin ) ada peluang untuk mendapatkan undi Melayu di DUN Pelangai.

“Jadi, kita tidak akan memberi laluan mudah kepada BN-PH (dengan kemenangan percuma) di DUN Pelangai, sebaliknya PN Pahang akan masuk bertanding dan cuba untuk merebut kerusi ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ditanya mengenai calon, ahli dewan undangan negeri (ADUN) Panching itu berkata, pihaknya sudah menghantar senarai nama calon yang sesuai kepada PAS Pusat.

“Perkara itu akan diputuskan oleh PAS Pusat, tapi kita harap (calon) anak tempatan diketengahkan dalam PRK kali ini,” ujarnya.

Pada Isnin, SPR memaklumkan akan mengadakan satu mesyuarat khas pada Khamis ini (esok) bagi membincangkan tarikh penting untuk PRK Pelangai.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berkata, ia berikutan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.

Allahyarham Johari, merupakan seorang daripada 10 mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam.- nasionalkini.my

Pesta etok di Hujung Tanjung

MB Perlis

Tema Hari Kebangsaan: Perlis ikut kerajaan Pusat atas semangat patriotisme