in

‘Orang luar’ tak perlu campur urusan PN

Ahmad Fadhli Shaari

SHAH ALAM, 28 Januari – PAS menempelak tindakan pihak luar yang cuba mencampuri urusan kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) khususnya melibatkan parti itu dan BERSATU.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan seorang veteran UMNO mencadangkan PAS memimpin PN bagi menggantikan BERSATU bukan sahaja dianggap ‘ganjil’ malah menyifatkannya sebagai ‘penumpang kapal yang sedang karam’ bimbang dengan kedudukan parti lain yang mempunyai sokongan kukuh.

“Mengulas kenyataan ini, saya ingin katakan terima kasih atas cadangan, namun agak ganjil apabila penumpang sebuah kapal yang sedang karam asyik bimbang kepada kapal lain yang terus gagah belayar,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sebelum ini, Shahrir Abdul Samad dalam perkongsian di Facebooknya melontarkan cadangan itu dengan memetik perkembangan politik yang menyaksikan sejumlah ahli parlimen BERSATU menyokong pentadbiran perdana menteri, Anwar Ibrahim.

Menurut Shahrir, sepatutnya PAS mengambil alih kepimpinan PN selain mencadangkan BERSATU memecat ahli parlimen mereka yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

Mengulas perkara itu, Ahmad Fadhli yang juga ahli parlimen Pasir Mas tidak melihat tindakan sekumpulan ahli parlimen PN daripada BERSATU beralih sokongan kepada Kerajaan Perpaduan menggugat kedudukan gabungan tersebut.

Sebaliknya, dia memberitahu apa yang penting adalah kedudukan sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.– nasionalkini.my

Gol Faisal Halim bertaraf dunia

Maut ditikam akibat salah faham