in

PN ada dua nama untuk Pelangai

Gambar oleh Sinar Harian

BENTONG, 18 September – Perikatan Nasional (PN) Pahang dikatakan hanya menampilkan nama dua calon tempatan untuk bertanding bagi kerusi DUN Pelangai pada 7 Oktober depan.

Mereka yang disebut-sebut adalah Kasim Samat dan Roslan Md Esa, kedua-duanya calon tempatan.

Kasim atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Kasim pernah bertanding merebut kerusi itu pada PRU15.

Dia memperoleh 3,260 undi, tewas kepada Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang mendapat 7,308 undi.

Roslan pula mempunyai pengalaman bertanding di kerusi DUN Ketari pada PRU14, namun tewas kepada Young Syefura Othman.

Gambar hiasan

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, senarai nama dari PAS Bentong sudah diserahkan untuk dipertimbangkan sebagai calon.

“Calon yang boleh diterima dan disenangi di kawasan itu dan boleh membawa kemenangan kepada PN.

“Mereka memenuhi semua kelayakan diperlukan untuk berkhidmat dan menjadi suara rakyat,” katanya.

Calon yang dipilih kelak perlu memenangi hati 16,456 pengundi di kawasan yang mempunyai 10 kampung tradisi, tiga tanah rancangan FELDA, tiga estet dan empat Kampung Baru Cina.

Sementara itu, Cikgu Kasim ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan beliau menyerahkan segala keputusan terhadap pucuk pimpinan parti berhubung isu calon bertanding di kerusi Dun Pelangai.

Gambar oleh NSTP

“Kita tunggu sahaja pengumuman calon yang akan diumumkan pada Rabu nanti. Kalau saya dipilih oleh pucuk pimpinan pasti saya akur dan terima amanah ini sebaiknya,” katanya.

Roslan turut mengambil maklum bahawa namanya juga antara yang disenaraikan sebagai calon PN di kerusi terbabit.

Beliau berkata, PAS tidak mengajar pemimpin dan ahli untuk melobi atau meminta jawatan, sebaliknya perlu akur dengan setiap keputusan daripada pucuk pimpinan parti.

“Tapi, jika saya tidak terpilih, ia tidak menjadi masalah kerana saya masih boleh berperanan di posisi lain.

“Siapa calon PN di Pelangai yang pasti kita akan berkerja keras,” katanya.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian Johari daripada Barisan Nasional (BN) yang terbabit dalam kejadian kapal terbang terhempas di Shah Alam, Selangor bulan lalu.- nasionalkini.my

Bekalan kurang sebab peniaga buat pembelian panik

Polis mula siasat kes Ebit Lew