KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Paras air sungai yang cetek sehingga paras lutut di sekitar Pulau Duyong, dekat sini, memberi rezeki berganda kepada penduduk untuk mencari etok.
Malah kebanjiran luar biasa hidupan air dengan nama saintifiknya ‘corbicula fluminea’ itu menyaksikan ratusan penduduk membanjiri kawasan berkenaan hampir setiap hari.
Tinjauan BH di Kampung Hujung Tanjung mendapati kawasan berkenaan bagaikan pesta sejak tiga minggu lalu dan bukan hanya dikunjungi penduduk setempat, malah juga dari luar daerah berkenaan.
Lebih menarik, pelbagai kaedah digunakan penduduk termasuk menggunakan penutup kipas, bakul basikal dan alat yang direka khas bagi mengaut etok dari dasar sungai.
Seorang penduduk, Mohd Roma Ali, 52 berkata, dia teruja kerana mampu mengaut etok dengan jumlah lebih banyak pada bulan ini berbanding sebelumnya.
Malah, dia yang menjadikan mencari etok sebagai pekerjaan utama, kini mampu mengaut makanan itu sehingga 50 kilogram (kg) sehari sebelum dijual kepada penduduk setempat.
“Etok memang sentiasa ada di dasar sungai Kampung Hujung Tanjung ini, tapi bermula akhir Julai hingga bulan Ogos, ia semakin banyak dan begitu luar biasa.
“Kebiasaan saya dapat sekitar 20 kg sehari untuk dua jam mencari pada bulan lain.
” Tapi kali ini etok semakin banyak, saya mampu mengaut lebih 50 kg sehari dalam masa dua jam bermula jam 5 petang.
“Air sungai yang surut antara faktor yang membantu kami mendapat lebih banyak etok. Saya membuat sendiri alat untuk mengaut.
“Sebaik naik ke darat, isteri saya, Sakinah Kamaluddin dan anak, Afifi akan menjual kepada penggemar makanan ini dengan harga antara RM5 hingga RM6 kg mengikut saiz,” katanya ketika ditemui semalam.- nasionalkini.my