in

Tema Hari Kebangsaan: Perlis ikut kerajaan Pusat atas semangat patriotisme

MB Perlis

KANGAR, 23 Ogos – Perlis memutuskan untuk menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang sama dengan Kerajaan Pusat pada tahun ini.

Menteri Besarnya, Mohd. Shukri Ramli berkata, pendirian tersebut adalah atas semangat patriotisme dan federalisme antara negeri dan kerajaan di peringkat pusat.

“Langkah ini selaras dengan keputusan kerajaan negeri Terengganu, Kelantan dan Kedah yang membuat keputusan sama sekali gus tidak timbul lagi sebarang isu menjelang sambutan Hari Kebangsaan yang bakal diraikan dalam semangat kekeluargaan yang merangkumi pelbagai kaum.

“Kita juga memutuskan akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang sama dengan Kerajaan Pusat untuk sambutan peringkat negeri pada tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Terengganu, Kedah dan Terengganu mengambil langkah sama mahu menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang sama dengan Kerajaan Pusat bagi sambutan peringkat negeri pada tahun ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor antaranya berkata, tindakan itu selaras dengan keputusan kerajaan negeri Terengganu yang membuat keputusan sama, sebelum ini.

Manakala, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan pula berkata, kerajaan negeri itu memutuskan menggunakan tema Hari Kebangsaan yang sama dengan kerajaan Pusat .

Bagaimanapun pihaknya akan menambah slogan Membangun Bersama Islam yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan negeri dibelakang tema tersebut.

Sebelum ini kekecohan berhubung tema hari Kebangsaan timbul selepas Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari  mencadangkan negeri pimpinan PN iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza di peringkat negeri.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil Fahmi mengumumkan tema Hari Kebangsaan 2023 ialah ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’.

Tiada istilah menang percuma di Pelangai

Jemaah meninggal ketika tahiyat akhir