KUANTAN, 4 April – Blogger kontroversi yang juga aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli mendakwa dia bertanding Bebas pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Chini pada Julai 2020 ‘atas perkenan PAS’.
Dia juga mendakwa ketika itu PAS dan UMNO masih bersama dalam Muafakat Nasional (MN).
“Jadi saya fikir PAS tak layak bercakap pasal zalim atau tidak adil.
“Saya agak terkilan kerana pimpinan PAS tidak lagi mengamalkan politik matang ketika zaman Allahyarham Tok Guru Nik Aziz Nik Mat,” katanya.

Dia berkata demikian sebagai merujuk kepada tuduhan PAS bahawa kerajaan Pahang tidak mengagihkan peruntukan sewajarnya kepada ADUN Perikatan Nasional di negeri ini.
“Kenapa agaknya mereka masih mengulangi isu peruntukan walaupun ia sudah dijawab oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Peruntukan memang diberikan, cuma tidak secara terus kepada wakil rakyat pembangkang.
“Yang penting rakyat di Pahang menerima pelbagai bantuan tanpa mengira mereka sokong kerajaan negeri atau sokong pembangkang,” katanya lagi.– nasionalkini.my