in

Siasat segera isu jual tanah murah

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said menggesa SPRM melakukan siasatan segera berhubung isu penjualan tanah membabitkan kerajaan negeri Terengganu

MARANG, 6 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa segera siasat isu penjualan tanah kerajaan negeri kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Said berkata, isu penjualan tanah oleh kerajaan negeri kepada NGO pada harga RM550,000, berbanding nilai semasa sebanyak RM29 juta bukannya rahsia.

Sebaliknya, isu penjualan tanah dalam bandar sudah menjadi pendebatan rakyat selepas didedahkan melalui media massa termasuk media sosial.

“Sampai bila SPRM nak tangguhkan siasatan, bukan susah sangat pun, pegawai badan bebas itu boleh menghantar pegawai ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri mengambil dokumen.

“Laporan mengenai penjualan tanah kepada NGO itu sudah dibuat dan isu itu didedahkan melalui media massa termasuk media sosial,” katanya yang juga ADUN Kijal, lapor BH.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya negeri (PRN) Barisan Nasional (BN) peringkat Parlimen Marang di Institut Kemahiran Belia Negara Wakaf Tapai, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua UMNO Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga bekas Menteri Besar negeri menegaskan penjualan tanah pada harga yang lebih rendah daripada harga nilaian semasa oleh kerajaan negeri kepada NGO itu adalah satu kesalahan dan pengkhianatan kepada rakyat.

“Saya bersedia pada bila-bila masa jika dipanggil SPRM untuk diambil keterangan bagi membantu badan bebas itu melengkapkan siasatan.

“Kekadang rakyat bercakap dan mula mempertikaikan kredibiliti SPRM apabila melakukan siasatan walaupun laporan ditulis atas sekeping kertas oleh murid sekolah,” katanya.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil semula tanah seluas kira-kira 11,299 meter persegi di Jalan Sultan Omar yang diberikan kerajaan PAS kepada koperasi selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) pada tahun 2004 dengan nilai RM6.7 juta.

Katanya, kerajaan PAS menganugerahkan tanah itu kepada sebuah koperasi selepas memenangi PRU10 pada 1999.

Ketika mengulas cabaran untuk berdebat dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai isu penjualan tanah itu, Ahmad berkata, setakat ini tiada maklum balas diterima daripada kerajaan negeri, tetapi masih bersedia.

“Ahmad Samsuri maklum lokasi perdebatan dan masa, kita bersedia pada bila-bila masa,” katanya. – nasionalkini.my

16 lagi pingat emas dikutip atlet para di APG 2023

Sanusi disiasat dakwa Pulau Pinang milik Kedah