in

16 lagi pingat emas dikutip atlet para di APG 2023

Kontinjen negara diwakili 48 delegasi yang terdiri daripada 34 atlet diketuai oleh Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke APG 2023, Noor Syahieda Mat Shah dan atlet boccia (BC1- kecacatan fizikal) Angeline Melissa Lawas yang menggalas tugas sebagai pembawa Jalur Gemilang - Gambar oleh Bernama

PHNOM PENH, 6 Jun – Malaysia menambah 16 pingat emas semalam menerusi kombinasi sukan ‘lubuk emas’ olahraga dan renang serta dibantu dua sukan lain iaitu judo dan ping pong pada hari ketiga temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2023, di sini.

Hasil kerja keras atlet ‘istimewa’ membolehkan kontinjen negara mengumpul 24 emas, 17 perak dan 12 gangsa setakat ini, lapor Bernama.

Atlet Eddy Bernard, muncul wira skuad olahraga negara apabila menyumbang dua pingat emas dalam acara 100 meter (m) T44 dan lompat jauh (kecacatan fizikal); diikuti Muhammad Ashraf Muhammad Haisham (1,500m T46 (kecacatan fizikal); Mohamad Saifuddin Ishak (Lompat Jauh T11-12) dan Zulkifly Abdullah (Lompat Jauh T20-kecacatan intelektual).

Turut unggul meraih emas ialah Mohamad Aliff Mohamad Awi dan Mohd Shahmil Md Saad masing-masing menerusi acara lontar peluru F20- kecacatan intelektual dan lontar peluru F56 – kecacatan anggota.

Kem renang tidak kurang hebatnya apabila turut menghadirkan tujuh kilauan emas menerusi Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan daripada acara 100m kuak lentang S14- kecacatan intelektual; Lee Kher Zy (200m gaya bebas S5-kecacatan fizikal) dan Mohd Adib Iqbal Abdullah (50m Kuak Dada SB14 -kecacatan intelektual).

Muhammad Nur Syaiful pula meraih emas 50m kuak dada SB4- kecacatan fizikal; Abd Halim Mohammad (50m kuak dada SB8- kecacatan fizikal lelaki) dan Carmen Lim bagi kategori sama wanita.

Acara 4x100m rampaian S14- kecacatan intelektual yang mengandingkan Ethan Khoo; Bryan Lau; Muhammad Imaan Aiman dan Mohd Adib Iqbal turut menyumbang emas apabila merekodkan 4 minit 15.29 saat untuk mengesahkan emas buat Malaysia.

Skuad judo dan ping pong mencipta sensasi apabila turut menjelmakan satu pingat emas menerusi sukan masing-masing iaitu Muhamad Fatah Abu Bakar bagi judo (-73 kg J2 – kecacatan penglihatan) dan gandingan Brady Zi Rong Chin-Chee Chaoming dalam berpasukan ping pong lelaki TT9 – atlet berdiri.

Tumpuan kontinjen negara hari ini sudah pastinya terarah kepada atlet olahraga Muhammad Ashraf, yang memburu pingat emas ketiganya, menerusi acara 800m lelaki (T46- kecacatan fizikal).

Beliau sebelum ini meraih dua pingat emas menerusi acara 5,000m dan 1,500m. – nasionalkini.my

Zionis tembak mati kanak-kanak Palestin

Siasat segera isu jual tanah murah