PUTRAJAYA, 27 Julai – Sesi taklimat ‘Request for Information’ (RFI) untuk pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura yang diadakan hari ini menerima sambutan menggalakkan daripada wakil syarikat tempatan dan luar negara.
Kira-kira 700 hadir pada sesi taklimat yang dikendalikan MyHSR Corporation di pejabat Kementerian Kewangan.
Taklimat itu memberikan gambaran keseluruhan pelaksanaan projek berkenaan, termasuk tarikh akhir bagi firma tempatan dan luar negara yang berminat untuk terbabit dalam projek itu.
Ketika sesi taklimat terbabit, MyHSR memaklumkan mengenai model reka bentuk-kewangan-bina-operasi-pemindahan, dan firma yang mengambil bahagian mesti menunjukkan keupayaan bagi membangunkan projek ini dengan kepakaran teknikal sesuai.
Pengerusi MyHSR, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman, berkata taklimat itu menandakan satu langkah penting dalam merealisasikan projek itu, selaras dengan aspirasi kerajaan.
“Taklimat ini adalah untuk menyediakan syarikat berminat dengan maklumat relevan seperti komponen utama, keperluan penyerahan dan kriteria penilaian bagi mereka sediakan dan menyampaikan cadangan konsep komprehensif,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Selain memberikan gambaran keseluruhan proses RFI, MyHSR juga membentangkan kajian kes tentang kesan positif pembangunan HSR dan integrasi ekonomi di Taiwan, Jepun dan China, serta perjalanan HSR dimulakan oleh Britain, Thailand dan Indonesia.
Ditubuhkan pada 2015, MyHSR dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan dan turut diselia di bawah Kementerian Pengangkutan.- nasionalkini.my