in

Jumpa kepala babi depan bilik gerakan PN

Gambar dari Facebook

KUALA PILAH, 9 Ogos – Jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh di sini dikejutkan dengan penemuan kepala babi yang diletakkan di atas bendera parti gabungan itu di hadapan bilik gerakannya pagi tadi.

Calon PN bagi DUN Juasseh, Datuk Eddin Syazlee Shith, mendakwa dia mendapat maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.30 pagi.

Menurutnya, selain di bilik gerakan, dia mendakwa kepala babi turut diletakkan di sebuah kediaman salah seorang pegawainya di daerah ini.

“Macam-macam hal berlaku dan kita sudah menjangkakan, mungkin lebih teruk daripada itu pun akan berlaku.

“Tetapi tidak mengapalah kita kekal tenang, saya fikir ini mungkin tindakan-tindakan untuk mengalihkan tumpuan menghadapi (kempen) Pilihan Raya Negeri yang berbaki tiga hari sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini, lapor BH.

Katanya, kejadian itu mungkin tindakan orang terdesak dan menganggap sebahagian daripada cabaran, namun pada masa sama tidak boleh menuduh sesiapa kerana mahu menjaga sensitiviti banyak pihak.

Eddin yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, berkata perkara itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan polis masih menjalankan siasatan.- nasionalkini.my

Konsep pustaka wakaf di UCYP

RM280,000 untuk baik pulih SMA Padang Tengku