in

Konsep pustaka wakaf di UCYP

Halidan bersama Dr Ahmad pada Majlis Sumbangan Pemantapan Perpustakaan UCYP di Kuantan, hari ini

KUANTAN, 9 Ogos – Wakaf Pahang menjadikan Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) sebagai perintis dalam usaha melengkapi keperluan pustaka pusat pengajian itu melalui sumbangan dana wakaf.

Ia bagi memantapkan lagi pustaka tersebut dengan koleksi bahan bacaan komprehensif selain pembaharuan fasiliti pembelajaran untuk pelajar.

Pengurus Besar Kanan, Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, Datuk Halidan Md Daud berkata, pihak Wakaf Pahang bercadang menggembangkan lagi program sama di institusi pengajian lain di negeri ini secara berperingkat.

Menurutnya, sebagai permulaan pihak Wakaf Pahang menyalurkan dana wakaf RM50,000 pada Januari lalu kepada UCYP.

“Usaha dilakukan ini untuk memantapkan lagi perpustakaan di UCYP… kita sebenarnya nak mengusahakan dana sebanyak RM100,000 untuk kelengkapan di sini.

“Jadi di bahagian pertama ini kita keluarkan RM50,000 daripada tabung wakaf… tabung ini hasil sumbangan orang ramai jadi kita laksanakan hasrat pewakaf-pewakaf berkenaan.

“Namun begitu ia telah ditukarkan kepada buku, jadi mudah-mudahan ia dapat dimanfaatkan oleh anak-anak yang belajar di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Sumbangan Pemantapan Perpustakaan UCYP, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad Zainuddin.

Mengulas lanjut, Halidan berkata, bagi melengkapkan lagi sasaran sumbangan wakaf di perpustakaan kolej tersebut, pihaknya turut berkolaborasi dengan warga UCYP bagi menggerakkan usaha mengumpul baki dana yang diperlukan.

Jelasnya, pelbagai program akan diadakan termasuk penganjuran seminar-seminar bagi memajukan perpustakaan sebagai pusat ilmu dan pengetahuan pembangunan wakaf yang diusahakan.- nasionalkini.my

Kasih bapa kekal selamanya

Jumpa kepala babi depan bilik gerakan PN