Oleh Iskandar Zulkarnain
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini memimpin Kerajaan Perpaduan diminta mengutamakan kepentingan rakyat dalam isu agihan peruntukan dalam kalangan wakil rakyat pembangkang.
Ketua Penerangan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, tindakan mengenepikan peruntukan selama ini hanya mengulangi skrip politik dendam kesumat.
Tegas beliau, ia nyata bertentangan dengan agenda yang pernah diperjuangkan oleh Anwar ketika menjadi Ketua Pembangkang suatu masa dahulu.
Tambahnya, semua pihak diminta mengambil panduan daripada titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah agar wakil rakyat pembangkang juga diberi peruntukan yang adil.
“DYMM Tengku Hassanal dalam titah baginda menyatakan bahawa dalam tempoh 66 tahun ini sepatutnya semua pihak telah matang dan menjadi kerajaan yang meraikan pembangkang kerana mereka juga telah dipilih oleh rakyat.
“Kami mengulangi gesaan ini kerana kepentingan rakyat perlu diutamakan, bukan hanya survival politik yang menafikan hak wakil rakyat pembangkang yang sah dipilih oleh rakyat.
“Peruntukan juga perlulah diberikan tanpa syarat. Hormatilah pilihan rakyat,” katanya.
Pada 8 Mei lalu, Tengku Hassanal menitahkan supaya kerajaan Pahang memberikan peruntukan adil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini.
Baginda bertitah, hampir 66 tahun merdeka landskap politik perlu berubah.
“(Tempoh) 66 tahun ini sepatutnya telah matang dan yang menjadi kerajaan raikan pembangkang kerana mereka juga telah dipilih oleh rakyat.
“Peruntukan yang adil perlu diberikan kepada mereka (pembangkang) juga,” titah baginda. – nasionalkini.my