KUALA LUMPUR, 12 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa sengaja ‘buat-buat tidak nampak’ dengan permohonan rakyat berhubung pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan melahirkan rasa pelik dengan tindakan Ahli Parlimen Tambun itu dilihat lebih bersungguh mengalukan kedatangan penyanyi kumpulan rock, Coldplay daripada mendengar rintihan rakyat sendiri.
“Saya teruja apabila Anwar bersungguh-sungguh mengucapkan selamat datang kepada Coldplay ke negara ini, dalam siri jelajah kumpulan rock itu buat konsert, November depan.
“Lama lagi Coldplay nak datang, bukannya esok, tetapi, saya lagi teruja salam rakyat #kwspbersasar yang memohon prihatin seorang Menteri Kewangan sebelum Coldplay datang Kuala Lumpur pun, dia buat-buat tak nampak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Saiful yang bekas Ketua Penerangan Bersatu itu turut hairan dengan Anwar yang turut meluangkan masa bersama peminat untuk menonton filem berkenaan dirinya.
Namun tidak mempunyai masa mendengar rintihan rakyat dan solusi daripada badan bukan kerajaan (NGO) berhubung KWSP bersasar.
Justeru beliau menyifatkan Anwar gagal menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri terutama melibatkan kebajikan rakyat yang semakin menderita dan tertekan.
Beliau memberikan contoh usaha menurunkan harga minyak ke paras RM1.50 seperti yang dijanjikan semasa ucapan penggulungan Presiden pada Kongres Nasional Keadilan ke-16 pada 2022.
“Bila sudah dapat kuasa, mungkin dia buat-buat tidak nampak atau dia buat-buat lupa. Takkanlah tidak bincang dengan menteri raja formula kot.
“Dulu masa zaman Datuk Seri Najib Tun Razak, raja formula, ini bukan main lagi menang bab formula harga minyak,” katanya.
Wan Saiful pada masa sama membidas dengan menyatakan kemungkinan Anwar lebih produktif apabila bertukar menjadi pembangkang semula. – nasionalkini.my