KUANTAN, 15 Julai – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menafikan dakwaan wujudnya masalah dalaman antara sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dengan pemuda UMNO.
Ketua AMK Adam Adli Abd Halim berkata ia adalah perkara biasa apabila berlaku perbezaan pandangan dalam politik.
“Tidak ada masalah… itu perkara biasa,” katanya seperti dilapor Bernama.
Dia berkata demikian kepada media selepas menghadiri program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) Peringkat Negeri Pahang 2024 di Dewan Datuk Sri Abdul Manan Ismail di sini semalam.
Menyentuh mengenai Kembara JOM, Adam Adli berkata kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pendidikan adalah antara isu yang banyak dibangkitkan oleh golongan belia sepanjang program itu berlangsung di sembilan negeri termasuk Pahang.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata segala pandangan serta maklum balas golongan belia sepanjang program tersebut akan diambil serius oleh pihak kementerian dan dikumpulkan untuk digunakan dalam merangka polisi pada masa hadapan. – nasionalkini.my