KOTA BHARU, 8 Julai – Keputusan MCA dan MIC tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini disifatkan doa untuk UMNO berjuang solo, sudah termakbul.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata walaupun MCA dan MIC tidak banyak kerusi, ia adalah komponen yang hebat.
“Sekarang UMNO bertanding solo. Sebab dia (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid) berdoa untuk solo, Allah makbulkan.
“Orang MIC dan MCA tak akan sokong UMNO. Jadi saya menyeru kepada mereka untuk sokong PN (Perikatan Nasional).
“Kita akan menegakkan keadilan tanpa was-was,” katanya pada sidang media selepas program Pentas Alternatif Rakyat Parlimen Pengkalan Chepa di Dataran Kijang, Pasar Kedai Buloh, semalam, lapor BH.
Kelmarin, MCA menerusi kenyataan dikeluarkan setiausaha agungnya, Datuk Chong Sin Woon memaklumkan, parti itu tidak akan bertanding pada PRN di enam negeri, 12 Ogos ini.
Sebaliknya, MCA akan menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), selain melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula parti itu.
Selang beberapa jam selepas itu, MIC menerusi setiausaha agungnya, RT Rajasekaran turut mengumumkan tidak akan bertanding dalam enam PRN berkenaan selepas meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Dalam perkembangan sama, Shahidan berkata, keputusan UMNO untuk bertanding di tiga negeri pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah dianggap sebagai tamparan memandangkan semua negeri itu adalah lubuk PN.
Katanya lagi, walau pelbagai formula dibuat, kebarangkalian UMNO untuk kalah adalah tinggi kerana pengikut parti itu sendiri sudah beralih arah.
“Kedah, Terengganu dan Kelantan adalah lubuk PN, UMNO nak bertanding buat apa? Bertanding pun kalah, buat malu saja, nanti hilang benih.
“Walaupun dia buat formula, UMNO campur PH (Pakatan Harapan), maka jumlahnya dia menang tapi dia lupa orang UMNO bagi (undi) masa tu, masa dia kata ‘No Anwar No DAP’ tapi sekarang dia duduk dengan DAP dan orang UMNO tak setuju,” katanya lagi. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN