in

Kerajaan Belanda terbubar

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte akan menyerahkan surat pengundurannya dari Kabinet selepas gagal mencapai kesepakatan mengenai langkah-langkah untuk mengawal kemasukan imigran ke negara itu - Gambar oleh Agensi

AMSTERDAM, 8 Julai – Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte akan menyerahkan surat pengundurannya dari kabinet selepas gagal mencapai kesepakatan mengenai langkah mengetatkan dasar terhadap imigran, lapor agensi berita Belanda ANP.

Kejatuhan kerajaan Belanda itu berlaku selepas tiga hari perbincangan tegang berlangsung sekali gus menyebabkan pilihan raya baharu pada musim luruh akan diadakan.

Cadangan parti konservatif VVD pimpinan Rutte agar membataskan kemasukan pencari suaka ke Belanda menyebabkan berlaku perpecahan gabungan empat parti pemerintahan apabila dua daripadanya menolak cadangan tersebut.

Ketegangan sampai kemuncak pada minggu ini apabila Rutte menuntut sokongan pada cadangannya untuk mengawal kemasukan anak-anak mangsa pelarian perang yang sudah sedia berada di Belanda dan membuatkan keluarga mereka menanti setidak-tidaknya selama dua tahun sebelum kembali bersatu.

Belanda adalah antara negara di Eropah yang mengenakan dasar imigran yang paling ketat, namum jumlah permohonan suaka di negara itu melonjak sebanyak satu pertiga pada tahun lalu menjadikan angka lebih daripada 46,000 pemohon – Gambar oleh Agensi

“Ia bukan lagi rahsia apabila parti gabungan mempunyai perbezaan pendapat mengenai polisi imigran.

“Oleh kerana itu, hari ini, kami harus membuat kesimpulan bahawa perbezaan-perbezaan itu telah menjadi sesuatu yang tidak dapat diatasi lagi.

“Sehubungan itu, saya akan menyerahkan surat peletakan jawatan seluruh Kabinet kepada Raja,” kata Rutte dalam sidang media yang disiarkan secara langsung pada Jumaat.

Belanda merupakan salah sebuah negara di Eropah yang mengenakan dasar imigran yang paling ketat sekali.

Namun begitu, jumlah permohonan suaka di negara itu melonjak sebanyak satu pertiga pada tahun lalu menjadikan angka lebih daripada 46,000.

Kerajaan Belanda juga menjangkakan jumlah itu akan meningkat menjadi lebih 70,000 tahun ini sekali gus melampui rekod tertinggi yang dicatatkan pada tahun 2015.

Perkembangan berkenaan sekali gus meningkatkan tekanan pada kemudahan-kemudahan asas buat mereka yang menerima perlindungan politik selama berbulan-bulan pada tahun lalu.

Terdapat ramai dalam kalangan mereka yang dipaksa untuk tidur di tempat terbuka tanpa akses air minuman yang bersih serta kemudahan pembersihan diri atau rawatan kesihatan.

Kejatuhan kerajaan Belanda itu berlaku selepas tiga hari perbincangan tegang berlangsung sekali gus menyebabkan pilihan raya baharu pada musim luruh akan diadakan – Gambar oleh Agensi

Tahun lalu, Rutte mengaku, beliau berasa sangat ‘malu’ dengan masalah yang tercetus berhubung kebajikan imigran.

Ia susulan sebuah pertubuhan kemanusiaan, Medecins sans Frontieres mengirim pasukan mereka ke Belanda untuk membantu memenuhi keperluan perubatan golongan imigran di pusat permohonan suaka di negara itu.

Susulan itu, Rutte berjanji untuk menambah baik keadaan di pusat berkenaan terutama mengurangkan kemasukan pelarian ke Belanda.

Bagaimanapun, beliau gagal memperoleh sokongan daripada gabungan kerjasamanya yang berpendapat, dasar itu terlalu berlebihan.

Rutte, 56, merupakan pemimpin paling lama memegang jawatan Perdana Menteri dalam sejarah Belanda.

Kerajaan pimpinan Rutte mula menerajui Belanda Januari 2022 iaitu penggal keempat pemerintahannya secara berturut-turut sejak kali pertama beliau menjadi Perdana Menteri pada Oktober 2010. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Kelantan kena bayar Belfort lebih setengah juta

Akhirnya UMNO bergerak solo – Shahidan