KUANTAN, 16 Jun – Perikatan Nasional (PN) Pahang tidak menolak desas-desus kemungkinan terdapat ’warlord’ UMNO di negeri ini yang akan menyertai gabungan parti itu.
Penyertaan ‘warlord’ terbabit mungkin berlaku sebelum kempen pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bermula tidak lama lagi.
Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pimpinan tertinggi PN akan menentukan masa sesuai bagi membuat pengumuman berkenaan.
“Yang saya pasti ialah, di peringkat akar umbi UMNO Pahang memang ada rasa tidak puas hati terhadap Presiden UMNO. Saya tahu kerana ada antara mereka ni kawan-kawan saya.
“Rungutan itu memang jelas. Ini sampai ke peringkat pimpinan bahagian termasuk ahli jawatankuasa bahagian yang meluahkan keresahan dan kerisauan mereka terutama keadaan UMNO di enam negeri yang bakal menghadapi PRN nanti,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga ahli parlimen Indera Mahkota memberitahu, PN Pahang sedang menunggu taklimat selanjutnya daripada Barisan Nasional (BN) berkenaan pelaksanaan pindaan Akta Anti Lompat Parti di negeri ini.
“Kami di PN pahang menunggu taklimat selanjutnya. Cuma adakah akta ini hendak dibentang kerana takut ada ahli dewan undangan negeri (ADUN) mereka yang akan melompat, itu saya tidak tahu.
“Kalau ianya hendak dibentangkan, saya berharap agar perbincangan itu dapat dilakukan dengan segera,” katanya.
Mengulas berkenaan PRN yang akan datang, Saifuddin menjelaskan PN Pahang akan menghantar jenteranya ke Kelantan, Terengganu dan Selangor bagi memastikan kemenangan di tiga negeri itu.
Katanya, tarikh hari mengundi dijangka sekitar bulan Ogos dengan mengambil kira jangkaan tarikh kepulangan jemaah haji ke tanah air. – nasionalkini.my