OLEH: AD Zafir
PEKAN, 3 Julai – Bagi memenuhi permintaan negara dalam bidang pengajian teknikal dan latihan (TVET), kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyarankan rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) meningkatkan perancangan terutama membabitkan kemasukan pelajar.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, susulan itu kementerian turut bertindak memperkasakan lagi bidang pengajian tersebut (TVET) melalui program kerjasama industri dalam kampus.
Terdapat empat buah universiti terlibat iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) .
“Kita akan mula pada RMK-13, saya mengharapkan universiti ini (MTUN) sudah ada perancangan untuk memperluaskan lagi tempat pengajian dan mewujudkan pengajian dalam negara sama dan membuka lebih banyak cawangan bagi kemudahan kepada pelajar.
“Kita meletakkan tanggungjawab ini terhadap empat universiti ini supaya mampu menyediakan lebih banyak tempat kepada pelajar yang memilih bidang TVET ini,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke UMP Kampus Pekan, di sini, petang tadi.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.
Hasil lawatan ke UMP, Mohamed Khalid berpuas hati dengan perjalanan dan pencapaian universiti itu yang berada pada landasan tepat untuk terus menyumbang kepada kemajuan negara.
Beliau berkata, UMP adalah antara universiti teknikal yang membabitkan pengajian TVET.
“Dari segi kebolehan pasaran, sebanyak 98.67 peratus pelajar yang dikeluarkan daripada UMP mendapat pekerjaan iaitu melebihi universiti awam atau MTUN yang lain.
“Sebanyak 20 peratus graduan UMP mendapat gaji melebihi RM3,000 ke atas kerana hubungan baik dan rapat dengan pihak industri,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berharap, pihak universiti teknikal perlu menjalinkan hubungan baik dan rapat dengan pihak pemain industri serta bertindak lebih proaktif untuk tujuan tersebut.
Perkara tersebut katanya perlu ditekankan bukan sahaja untuk kebolehpasaran malahan dapat membantu menyelesaikan isu-isu dan cabaran yang dihadapi dalam industri.
“Dengan cara ini dapat memastikan industri dapat mengemukakan kepada universiti isu-isu dan cabaran yang perlu dihadapi mereka.
“Melalui tindakan itu nanti, industri akan bersedia menyalurkan peruntukan penyelidikan kepada pihak universiti danbertindak mencari jalan untuk menyelesaikannya tetap dapat mengemukakan teknologi dan hasil produk baharu,” katanya. – nasionalkini.my