Oleh Luth Adwa
PASIR GUDANG, 3 Julai – Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjng hayat… mungkin itu sesuai diperkatakan dengan kisah bapa muda yang kini tular di media sosial selepas video anak-anaknya yang setia menantinya untuk berjumpa dengannya ketika sedang mencari rezeki.
Itu yang berlaku kepada Muhammad Ghaffar apabila video di TikTok yang memaparkan dua anak kesayangan laju menerpa ke arah ketika menunggu untuk bertemunya di jejantas, sekitar Pasir Gudang.
Momen yang dirakam sendiri oleh bapa muda yang berkhidmat sebagai pemandu treler, ketika dia yang dalam perjalanan menghantar barang berhenti seketika bertemu keluarga selepas dua hari tidak berjumpa.
Video penuh emosi itu berjaya meraih 1.4 juta tontonan, buat masa ini.
Muhammad Ghaffar Ilham yang kini berusia 30 tahun berkata, kerjaya yang dipilih itu menuntut masanya dihabiskan di jalan raya setiap hari sehingga kerap terlepas peluang melihat anak membesar.
“Saya anggap ini pengorbanan dalam membesarkan anak-anak dan berharap mereka menghargainya dengan belajar bersungguh-sungguh,” katanya di sini hari ini.
Muhammad Ghaffar Ilham berkata, video itu dibuat untuk mengenang memori mereka ketika tinggal berasingan dua tahun lalu apabila dia hanya pulang ke rumah setiap dua minggu kerana tuntutan kerja.
“Ketika itu keluarga saya masih tinggal di Batu Pahat, manakala saya di Pasir Gudang dan memenuhi tempahan muatan di sekitar Johor Bahru sebelum membawa keluarga berpindah ke Kota Masai, di sini, sejak dua tahun lalu.
“Sebelum ini saya pandu kargo dan hanya pulang ke rumah seminggu sekali saja sebelum saya ubah angin pandu treler tangki pula dan pulang ke rumah dua minggu sekali kerana order di sekitar Johor Bahru sementara keluarga di Batu Pahat.
“Setiap kali ada order di Melaka dan Senawang, Negeri Sembilan saya beritahu isteri, Nur Syarzurah D Wanis, 26 supaya dia dan anak-anak tunggu di mana-mana lokasi untuk kami bertemu sekejap melepaskan rindu.
“Sekarang kami tinggal bersama, cuma masa bersama keluarga masih kurang kadang-kadang dua hari sekali baru balik, tetapi saya usaha untuk pulang ke rumah juga biarpun bila sampai anak sudah tidur,” katanya. – nasionalkini.my