Aliah Ramli
KUALA LUMPUR, 3 Julai – Sebuah pusat sembelihan lembu yang beroperasi secara haram di Kemensah di sini diserbu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), baru-baru ini.
Yang Dipertua MPAJ, Dr Ani Ahmad sendiri turun sendiri ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan ke atas pusat berkenaan sebaik menerima aduan daripada orang awam.
MPAJ menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan, pengusaha premis tersebut dikesan telah melakukan beberapa kesalahan antaranya mengalirkan sisa darah ternakan tersebut masuk ke anak sungai berhampiran.

Susulan itu, sebanyak tiga kompaun telah dikeluarkan ke atas pengusaha berkenaan.
“Kompaun pertama mengikut Seksyen 47(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana menumpahkan darah masuk ke dalam sesuatu tempat awam (anak sungai) dengan nilai kompaun RM250.
” Kompaun kedua adalah mengikut Seksyen 70, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) kerana melakukan sesuatu kacau ganggu / meletakkan kekotoran (mengalirkan darah sembelihan) ke anak sungai dan dikenakan kompaun RM1,000,” katanya.

MPAJ menjelaskan, kesalahan ketiga pula kerana menjalankan aktiviti perniagaan jualan daging lembu dan aktiviti penyembelihan tanpa lesen daripada MPAJ di bawah Undang-undang Kecil Tred, Perindustrian dan Perniagaan (MPAJ) 2007 dengan kompaun bernilai RM1,000.
“Menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen, menimbulkan kacau ganggu serta mengalirkan kekotoran ke dalam sungai merupakan satu kesalahan,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan peniaga supaya bijak dan mematuhi undang-undang ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan.. – nasionalkini.my