AKTIVITI luar seperti berkhemah sebagai contoh, biasanya meninggalkan kenangan indah kepada kita.
Apatah lagi jika tapak perkhemahan itu menyediakan kemudahan yang menyenangkan.
Lebih menarik jika dalam kawasan perkhemahan itu pula, menyediakan kopi yang penuh aroma untuk membangkitkan semangat.
Dan dari situlah timbul idea Normaziah Ahmad untuk cuba menawarkan pengalaman berbeza kepada kaki ‘camping’ di Air Terjun Sungai Pandan, dekat FELDA Panching, Kuantan.
Memilih nama kedai kopi ‘Mimpi dan Jiwa’ , kedai berkonsepkan minimalis itu memulakan operasi pada April lalu.
Normaziah yang berusia 38 tahun memberitahu, konsep utama ‘Mimpi dan Jiwa’ adalah menawarkan menu ringkas tapi menyegarkan kepada pelanggan mereka.
“Nama asal kedai adalah ‘Mimpi’ dan kebetulan tapak perkhemahan ini pula dinamakan ‘Jiwa’ jadi kami gabungkan sekali dan jadilah ‘Mimpi dan Jiwa’.
“Menu disediakan pula tidak terlalu kompleks, tapi cukup untuk meninggalkan kesan kepada peminat kopi,” katanya.
Antara minuman disediakan adalah ‘Arabica’ yang diproses secara manual di situ.
“Ada cabaran bila berniaga di sini, kerana kedai kami tidak mempunyai bekalan elektrik.
“Jadi, semua proses memerlukan bantuan ‘generator’ dan itulah juga menjadikan pengalaman pelanggan bertambah menarik,” katanya lagi.
Dia turut memaklumkan kedai kopi diusahakan itu beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad sahaja, dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
“Cuma musim cuti sekolah, kami buka setiap hari,” ujarnya.
Selain kopi pelbagai jenis, kedai ‘Mimpi dan Jiwa’ turut menyediakan aneka roti bakar serta makanan lain.
“Nasi lemak ada, nasi bungkus bermacam lauk pun ada dijual di sini.
“Kita juga ada menawarkan pelbagai jenis kek dan kuih tradisional Melayu untuk pelanggan,” katanya.
Penggemar aktiviti luar dan kopi boleh singgah di sini untuk menikmati pengalaman berbeza.
Sila lawati laman sosial Facebook mereka https://www.facebook.com/profile.php?id=100092582186188&mibextid=ZbWKwL untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan ‘Mimpi dan Jiwa’.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN