in

Destinasi istirehat paling berbaloi di hujung minggu

IMG 20230610 151531 6 x 4 inch
Meluangkan masa berehat di tepi pantai dapat menghilangkan rasa stres selepas bekerja sepanjang minggu - Gambar hiasan

SETIAP kali cuti hujung minggu dan kelepasan am lain, banyak lokasi menarik di sekitar bandar raya Kuantan padat dengan kunjungan orang ramai dari dalam dan luar Pahang.

Walaupun cuaca ketika ini sukar dijangka dengan suhu boleh mencecah sehingga 37 darjah Celsius di sesetengah tempat, namun ia tidak menghalang pengunjung meluangkan masa dan menjadikan deretan pantai di Pahang sebagai pilihan.

Antara yang sentiasa mendapat tumpuan adalah Pantai Teluk Chempedak yang terletak tidak jauh dari pusat bandar raya Kuantan.

Pantai Teluk Chempedak adalah antara lokasi paling mendapat tumpuan pengunjung dari dalam dan luar Pahang – Gambar hiasan

Mempunyai pelbagai kemudahan asas serta tempat makan, Teluk Chempedak juga mempunyai kiosk yang menjual pelbagai barangan kepada pengunjung.

Aktiviti lain juga disediakan seperti menunggang ATV dan sudut hiburan dalam bentuk ‘busking’ menampilkan anak muda berbakat dari Pahang.

Namun, kehadiran monyet berkeliaran di kawasan pantai itu sedikit mengganggu keselesaan pengunjung.

Cuma perlu diingatkan, kumpulan monyet itu tidak mengacau pengunjung jika pengunjung juga tidak terlalu ‘melayan’ karenah haiwan terbabit.

Bagi yang inginkan suasana lebih mesra-keluarga, pelancong setempat atau dari luar Pahang boleh memilih untuk ke Pantai Batu Hitam, dekat Beserah atau Pantai Sepat dan Pantai Kempadang yang terletak di pinggir bandar raya Kuantan.

IMG 20230610 145144 6 x 4 inch
Keunikan batuan ditemui di sepanjang Pantai Batu Hitam menjadi daya penarik pengunjung ke situ – Gambar hiasan

Jarak untuk ke Pantai Batu Hitam adalah sekitar 10 kilometer, manakala untuk ke Pantai Sepat dan Kempadang pula, kira-kira 15 kilometer.

Tiga lokasi itu lebih menenangkan dan masing-masing menyediakan pelbagai gerai jualan makanan untuk memudahkan pengunjung menjamu selera bersama keluarga mereka.

Aktiviti berkelah dan BBQ juga boleh dibuat di situ, asalkan kebersihan kawasan dijaga oleh pengunjung.

IMG 20230610 150248 6 x 4 inch
Nelayan tradisional di Pantai Sepat turun ke laut awal pagi dan pulang membawa hasil tangkapan lewat petang untuk dijual di pasar nelayan berhampiran pantai itu – Gambar hiasan

Bagi yang meminati sukan luncur ombak pula, Pantai Cherating sudah tentu sudah menjadi pilihan mereka.

Jaraknya lebih jauh sedikit, sekitar 20 kilometer dari Kuantan, tapi berbaloi untuk penggemar sukan ekstrem.

Ombak di Pantai Cherating juga sudah diiktiraf sebagai antara ombak yang paling sesuai dan mencabar untuk sukan ‘surfing’.

Nama Cherating itu sendiri pun sudah diketahui umum dan terkenal di seluruh dunia, disebabkan sukan ‘surfing’ itu juga.

IMG 20230610 150628 6 x 4 inch
Pengunjung Pantai Cherating boleh mengikuti kursus asas luncur ombak yang dianjurkan persatuan luncur ombak Cherating – Gambar hiasan

Cuma, jumlah pengunjung ke situ semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Samaada disebabkan pemasaran dan promosi yang kurang diberi perhatian oleh pihak berwajib atau mungkin juga disebabkan tidak ada usaha bersunggguh-sungguh oleh mana-mana pihak untuk mengangkat semula jenama Pantai Cherating.

Selain menjadi destinasi pilihan utama peminat sukan luncur ombak, Cherating turut dikenali dengan kelip-kelip dan ada syarikat mengendalikan perkhidmatan melihat kelip-kelip di sepanjang sungai di situ.

Jadi, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke lokasi disebutkan di atas untuk mendapatkan pengalaman baru apabila berkunjung ke Kuantan. – nasionalkini.my

IMG 20230610 134427

Guru disahkan meninggal dunia lepas 6 bulan hilang di Tanah Suci

352790871 795184698723600 5747503807030923879 n

Agong berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji