Oleh Aimy Maisarah
KOTA BHARU, 24 Jun – Jurutera elektrik di sebuah syarikat minyak dan gas, Zaki Ismail, 38, mengambil keputusan berhenti kerja untuk mengambil upah menjahit dan membaiki pakaian berasaskan denim.
Dia yang pernah menjelajah 21 negara kerana pekerjaannya sebelum ini, Zaki memulakan kerjaya baharunya itu pada awal tahun 2000.
“Saya suka membeli pakaian terpakai dan belajar membaikinya sendiri hasil tunjuk ajar seorang rakan.
“Lama kelamaan ada rakan yang meminta saya membaiki pakaian denim mereka,” katanya.
Minat mendalam Zaki itu juga menyebabkan dia mengimport mesin jahit berusia lebih 30 tahun dari Arizona, Amerika Syarikat untuk jahitan lebih kemas.

Zaki banyak belajar menjahit pada tahun 2015 dan mula menjahit topi dan seluar daripada denim yang mendapat sambutan daripada pelanggan di Thailand, sekali gus bertindak membuka sebuah bengkel jahitan di Jalan Telipot, di sini.
“Bagaimanapun, saya perlu memilih benang yang sesuai dan ada yang diimport dari luar negara termasuk Jepun dan Itali,” katanya.
Ini kerana, Zaki selalu diminta pelanggannya untuk membaiki seluar denim vintage yang memerlukan penggunaan benang yang lebih mahal dan berkualiti, sesuai dengan jenis denim.
Sebagai tukang jahit profesional, Zaki telah arif selok-belok untuk membeli benang dan ada ketika dia terpaksa mencari penjual dari negara asal seluar yang perlu dibaiki itu.
Katanya, ada beberapa kilang lama yang menjahit pakaian daripada denim menjual semula lebihan benang dalam simpanan mereka.
Menurut Zaki, dia perlu menunggu antara enam bulan hingga setahun untuk mendapatkan benang berkualiti itu. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN