in

Eksekutif akaun wanita didakwa seleweng lebih RM600,000

Tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 20 Jun – Seorang eksekutif akaun wanita sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas enam tuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM680,108 empat tahun lalu.

Tertuduh, Tan Siau Ling, 43 tahun, membuat pengakuan itu sejurus enam pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam dan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga di hadapan Hakim Dharmafikri, tertuduh didapati melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang dari akaun milik sebuah syarikat pertanian ke tiga akaun bank peribadinya berjumlah keseluruhan RM293,249.

Manakala bagi tiga lagi pertuduhan di hadapan Hakim Mohd Sabri, tertuduh turut mengaku tidak bersalah melakukan pecah amanah berjumlah RM396,858.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Nombor 32-1, Jalan PM 5, Plaza Mahkota, Melaka antara 4 Julai 2019 hingga 23 Oktober 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun, sebat dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin dan Muhammad Nazrin Ali Rahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM55,000 ringgit selain memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 18 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – nasionalkini.my

Sengatan lebah kaedah alternatif rawat kanser

WhatsApp Image 2023 06 20 at 2.13.49 PM

UniSZA latih pelajar golongan asnaf dalam bidang usahawan agro