Oleh AD Zafir
KUANTAN, 20 Jun – Seorang pemandu lori tangki didakwa memandu secara cuai hingga mengakibatkan kemalangan maut, di Mahkamah Khas Trafik Kuantan, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Nor Azwan Abd Saman, 31, mengaku tidak bersalah di hadapan majistret Fatinah Abu Bakar.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang memandu lori tangki membawa minyak tanpa kecermatan dan mengakibatkan kemalangan maut hingga mengorbankan dua beradik, Siti Nur Alia Saffiyah, 18 tahun dan Siti Mazurah Zulkifli, 30 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Jalan Kuantan – Segamat, dekat persimpangan lampu isyarat FELDA Lepar Hilir, dekat sini, kira-kira pukul 11 malam, 13 Jun lalu.
Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87 – Pindaan 1999) itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhlin Hani Khairon, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, serta lesen memandu dibatalkan mahkamah dan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun dari tarikh sabitan.
Ketika sesi prosiding itu, pihak pendakwaan telah memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM15,000 beserta seorang penjamin bercagar terhadap tertuduh
Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar jumlah ikat jaminnya dikurangkan kerana kerana hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM3,000 dan perlu menanggung menanggung seorang isteri yang tidak bekerja, tiga anak dan ibu yang sudah tua.
Dengan itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bercagar dan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam. – nasionalkini.my