KUALA LUMPUR, 8 Mei – Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa COVID-19 tidak lagi menjadi Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC).
Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata, keputusan itu mengambil kira trend global yang menunjukkan penurunan bagi kes kematian COVID-19.
Katanya, ia termasuklah kemasukan kes ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tahap imuniti populasi dunia terhadap virus SARS-CoV-2 yang tinggi.
“Keputusan itu juga dibuat berdasarkan hasil mesyuarat Jawatankuasa Darurat Peraturan-peraturan Kesihatan Antarabangsa(IHR) yang berlangsung pada 4 Mei di Geneva.
“Antara lain penyumbang keputusan tersebut melibatkan kebolehcapaian kepada diagnosis, rawatan, dan vaksin serta pemantauan varian virus SARS-CoV-2 juga menunjukkan tidak menyebabkan jangkitan COVID-19 yang teruk,” katanya.
Dr Zaliha berkata, KKM akan tetap meneruskan langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 berdasarkan protokol sedia ada serta membuat semakan semula termasuk mengemas kini garis panduan COVID-19 dengan merujuk kepada kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Kementerian Kesihatan sentiasa komited dan akan terus memantau situasi COVID-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum,”ujarnya. – nasionalkini.my