KUANTAN, 8 Mei – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah mengingatkan pihak pembangkang supaya jangan menghentam semua yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Pahang.
Baginda bertitah, apa yang baik yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Pahang perlu diberikan pujian namun jika kekurangan mereka boleh memberikan pandangan.
“Kepada pembangkang berilah idea-idea membina yang boleh membantu kerajaan. Hampir 66 tahun Merdeka, lanskap politik kita kena berubah. 66 tahun sepatutnya telah matang.
“Pembangkang janganlah menghentam semua yang kerajaan buat. Apa yang baik berilah pujian apa yang kurang berilah pandangan. Rakyat mahu politik yang stabil dan matang,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu, baginda juga menasihatkan semua ahli Yang Berhormat sama ada kerajaan atau pembangkang untuk sama-sama membangunkan Negeri Pahang.
“Saya harus berikan pujian kepada Kerajaan saya sekarang berada dalam landasan yang betul, hasil negeri meningkat ada pelbagai inisiatif yang baik untuk rakyat,” titah baginda. – nasionalkini.my