Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 31 Mei – Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang turut meliputi penyalahgunaan rokok elektronik akan dibentangkan buat kali pertama di Dewan Rakyat awal Jun ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, RUU itu adalah penambahbaikan daripada RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang tidak sempat dibentangkan pada sidang Parlimen penggal lalu akibat pembubaran kerajaan.
Menurutnya, walaupun terdapat penurunan di dalam peratusan remaja yang merokok rokok konvensional, terdapat peningkatan yang sangat ketara bagi penggunaan rokok elektronik atau vape, iaitu daripada 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus pada tahun 2022.
“Sebab itu, bagi mengatasi isu dan masalah penggunaan produk merokok terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, kawalan undang-undang akan diperkukuh melalui akta baharu kawalan tembakau dan merokok.
“Sidang Parlimen bermula pada 6 Jun ini dan sekarang kita sedang tunggu tarikh daripada pihak Parlimen dan menjangkakan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dibentangkan awal Jun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), di Dewan Hang Tuah, di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, pembentangan RUU itu juga turut mengambil kira pandangan pemain industri rokok elektronik di negara ini selain Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kita mahu mereka bersedia membuat regulation (peraturan) sebelum RUU dapat dibentangkan kerana isu besar yang terpaksa kita hadapi sekarang adalah untuk menguatkuasakan vape tersebut yang mempunyai banyak masalah dan tekanan daripada masyarakat.
“Ketika ini, terdapat kelompongan apabila tiada sebarang perundangan atau regulation yang dapat dijadikan panduan oleh perokok elektronik ini sebab itu RUU ini ditambah baik dari draf asal,” katanya. – nasionalkini.my