in

Sektor pelancongan, pemandu pelancong dan sebagainya

Kerjaya sebagai pemandu pelancong boleh memberi pulangan lumayan - Gambar hiasan

SYARAT untuk menjadi pelancong tidaklah terlalu susah, asalkan ada kemampuan kewangan, ke mana saja kita boleh pergi.

Samaada kita nak dikenali sebagai pelancong atau tidak, itu perkara lain.

Pemilihan destinasi untuk melancong juga tidak payah, di dalam negara saja ada banyak tempat menarik, kita cuma tinggal untuk pilih ke mana kita mahu pergi.

Batu Caves, Selangor sentiasa menjadi tumpuan dan menerima kunjungan daripada pelancong dari dalam dan luar negara – Gambar hiasan

Tapi, kalau kita melancong atau berjalan-jalan tanpa sedikit ilmu, mungkin juga masa kita habiskan untuk melawat tempat menarik itu tidak memberi kepuasan dan pengalaman yang sepatutnya.

Pemilihan lokasi untuk melancong perlu dilakukan dengan cermat

Jadi, di sinilah perlunya bantuan mereka yang bergelar pemandu pelancong.

Tahukah anda, kerjaya sebagai pemandu pelancong juga mampu memberi pulangan yang lumayan.

Apa yang perlu dimiliki oleh anda jika ingin bekerja sebagai pemandu pelancong?

Sudah tentu syarat utama ialah anda juga perlu mempunyai minat untuk melancong atau mengembara.

Udara nyaman dan segar di Bukit Fraser, Pahang menjadikan destinasi itu sebagai antara pilihan utama pelancong tempatan dan dari luar Malaysia – Gambar hiasan

Seterusnya, anda juga mestilah seorang yang amanah dan bertanggungjawab bagi memastikan pelancong yang dibawa itu menikmati percutian mereka sepenuhnya.

Bukan setakat menjaga keselesaan, anda juga perlu memastikan penginapan dan pengangkutan disediakan selamat, menyediakan jadual dan informasi lengkap berkaitan tempat pelancongan dibawa dan lain-lain bantuan diperlukan oleh pelancong itu.

Fahami syarat untuk menjadi pemandu pelancong

Tapi, paling penting anda perlu mendaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan memiliki lesen serta tauliah.

Ini berdasarkan peraturan mengikut Perkara 21 Akta Industri Pelancongan 1992.

Pemandu pelancong yang tidak berdaftar dan tidak memiliki tauliah boleh didenda tidak lebih RM7,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau keduanya.

Status Melaka sebagai bandar raya bersejarah menjadikan kunjungan ke negeri itu sebagai satu kemestian untuk pelancong dari luar negara – Gambar hiasan

Bagaimana nak dapatkan lesen atau tauliah? Anda perlu menghadiri kursus dan lulus ujian ditetapkan oleh MOTAC atau badan yang diberi kuasa menganjurkan kursus berkaitan.

Senarai pusat latihan menawarkan kursus berkaitan pemandu pelancong boleh dicari melalui Google dan Facebook.

Sekarang memang banyak institut latihan pelancongan menawarkan kursus berkenaan.

Kursus atau latihan ini mengambil masa sehingga 500 jam, selama enam bulan.

Dan apabila anda sudah selesai menjalani kursus itu, maka bolehlah anda memohon lesen sebagai pemandu pelancong daripada MOTAC.

Anda juga perlu mencapai umur 18 tahun ketika mengemukakan permohonan, selain sihat fizikal dan mental, bebas penyakit berjangkit dan tidak ada rekod jenayah. – nasionalkini.my

Ahli parlimen wajib sokong RUU produk kawalan tembakau

Era gemilang dolar AS bakal berakhir