Oleh Yusuf Shafie
JASIN, 30 Mei – Rakyat perlu mempunyai kesedaran mengenai kepentingan nyamuk Aedes yang disuntik bakteria Wolbachia bagi dalam usaha kerajaan menurunkan kes denggi di negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, kegagalan rakyat memahami peranan nyamuk berkenaan dalam komuniti akan menyebabkan bekalannya kritikal sekaligus merugikan negara.
“Ya, itu (bekalan kritikal) mungkin boleh berlaku apabila masyarakat tiada kesedaran berkenaan pelepasan nyamuk ini.
“Sebab itu, kita uar-uarkan usaha ini termasuklah menyediakan info grafik kawalan denggi melalui pelepasan nyamuk Berwolbachia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media
Pada Majlis Pelepasan Nyamuk Berwolbachia di Taman Bemban Jaya, Bemban, di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Rusdi Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata Projek Pelepasan Nyamuk Berwolbachia akan diteruskan secara berperingkat di negeri yang dilaporkan mempunyai peningkatan kes demam denggi.
“Setakat ini projek tersebut melibatkan 27 lokaliti di empat negeri iaitu Melaka, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang dan akan diperluaskan ke Sabah sebagai langkah pengawalan demam denggi.
“Di Melaka sahaja, hampir 300,000 nyamuk dewasa ini telah dilepaskan sejak Mac 2022 dan tahun ini hampir 100,000 ekor nyamuk dewasa berwolbachia akan dilepaskan dengan setiap 10,000 ekor bagi setiap pelepasan selama lapan minggu berturut-turut bermula hari ini,” katanya.
Ditanya mengenai keberkesanan projek itu, beliau berkata, ia dapat dilihat apabila tiada kes demam denggi dilaporkan dari lokaliti berkenaan pada minggu Epid ke 21, sekali gus menunjukkan hasil yang sangat positif.
“Kepadatan nyamuk Aedes Berwolbachia juga telah mencapai 80 peratus frekuensi seperti yang telah disasarkan kementerian.
“Ini bukan sahaja menjadikan penduduk selamat dari segi jangkitan demam denggi, malah juga terhindar dan selamat daripada penggunaan semburan racun serangga,” katanya. – nasionalkini.my