in

5 cedera nahas bas, lori ais

IMG 20230605 WA0005
Keadaan bas persiaran yang terbabit nahas dengan sebuah lori ais di Kilometer 200 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Alor Gajah, Melaka, awal pagi tadi

Oleh Yusuf Shafie

ALOR GAJAH, 5 Jun – Lima individu cedera termasuk empat penumpang sebuah bas persiaran dalam nahas dengan lori membawa muatan ais di Kilometer 200 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, di sini, awal pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fadil Saidin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pukul 1.47 pagi.

Menurutnya, sepasukan sembilan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah kemudian digerakkan ke lokasi bagi memberikan bantuan dan tiba di tempat kejadian jam 2.09 pagi.

“Sebaik tiba pada pukul 2.09 pagi didapati kemalangan membabitkan bas persiaran yang membawa 17 penumpang dengan sebuah lori muatan ais.

“Semua mangsa bagaimanapun sudah dikeluarkan dengan bantuan orang awam manakala mereka yang cedera iaitu tiga lelaki dan seorang wanita penumpang bas serta pemandu lori ais telah dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Fadil berkata, semua penumpang bas yang lain termasuk pemandu bas, tidak mengalami kecederaan dan bomba meneruskan kerja membersihkan kesan tumpahan minyak dan sisa kemalangan sebelum operasi tamat pukul 3 pagi.

Difahamkan sebelum kejadian, bas itu dipercayai bergerak dari lorong kecemasan ke lorong kiri sebelum lori yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian kanan belakang bas menyebabkannya terbalik ke longkang. – nasionalkini.my

Selena Gomez pernah sakit mental

Guru, 7 pesilat cedera MPV rempuh lori