in

3 beradik maut, lori bertembung kren

IMG 20230609 WA0004
Kemalangan dipercayai berpunca akibat kecuaian pemandu lori jenis Toyota Hiace - Gambar oleh Bomba Pahang

KUANTAN, 9 Jun – Tiga beradik maut selepas lori dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kren dalam kejadian di Kilometer 136 Jalan Kuantan – Johor Bharu dekat Kampung Sepakat, di sini, kira-kira jam 7.35 petang semalam.

Tiga beradik terbabit, Muhammad Firdaus Abu Bakar, 28, Muhammad Solihin, 21, dan Ahmad Jazuly, 17, dari Jalan Sungai Kolek, dekat Rompin.

Ketua Polis daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca akibat kecuaian pemandu lori jenis Toyota Hiace.

“Lori terbabit dipandu Muhammad Solihin manakala Muhammad Firdaus dan Ahmad Jazuly sebagai kelindan dan mereka dalam perjalanan dari arah Johor Bharu menghala arah Kuantan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan jentera berat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

IMG 20230609 WA0005
Pemandu kren yang turut cedera dalam kemalangan itu dibawa ke Hospital Rompin untuk rawatan lanjut – Gambar oleh Bomba Pahang

Katanya, akibat kemalangan itu, ketiga beradik berkenaan mengalami cedera parah pada bahagian kepala serta kaki dan disahkan meninggal dunia.

Pemandu kren berusia 38 tahun turut mengalami kecederaan pada bahagian badan.

“Kesemua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dihantar ke Hospital Rompin untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan awal mendapati, pemandu lori terbabit yang juga pelajar Politeknik Muadzam Shah, di sini, tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya meminta supaya saksi kejadian dapat tampil untuk membantu siasatan. – nasionalkini.my

‘Anakku Sazali’ terima zakat Selangor

MBK saman penjaja, pembeli di lampu isyarat